Whatsapp image 2024 11 26 at 4. 30. 43 pm 1024x683 1

RUU Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 di Kelantan diluluskan

Whatsapp image 2024 11 26 at 4. 30. 43 pm

KOTA BHARU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini dengan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 bagi menggantikan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Enakmen baharu itu telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

RUU berkenaan telah dibahaskan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diikuti penggulungan oleh Hilmi termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan sebelum dibaca buat kali kedua dan ketiga.

Seterusnya Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 diluluskan dengan sebulat suara di hadapan Timbalan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi.

Dalam ucapan pembentangannya, Hilmi menjelaskan, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 telah digubal dan diuluskan pada November 1998 bagi menggantikan Ordinan Panggung Wayang dan Tempat-Tempat Hiburan 1955 (Perluasan Kepada Kelantan).

Menurutnya, sejak dikuatkuasakan bermula 15 Jun 1999, tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan dibuat sepanjang 26 tahun, maka banyak kelompangan dikesan yang menimbulkan kesulitan dari segi pelaksanaannya.

“Bermula tahun lepas, jawatankuasa induk dan teknikal ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan enakmen berkenaan dan mendapati adalah lebih baik untuk satu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan baharu digubal.

“Penggubalan enakmen baharu itu selari dengan hasrat pihak berkuasa negeri untuk menukar pegawai pelesen hiburan daripada Ketua Jajahan kepada Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya semasa berucap pada Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

ADUN Guchil itu memberitahu, enakmen baharu juga digubal dengan mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada lagi kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan yang efektif tanpa meninggalkan nilai-nilai Islam dalam hiburan.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan kali ke-8/2024 yang bersidang pada 8 Mei lalu telah meluluskan RUU Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2024 untuk dibentangkan dalam persidangan DUN hari ini.

“Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 mempunyai enam bahagian yang terdiri daripada 48 seksyen dan satu jadual,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post RUU Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 di Kelantan diluluskan appeared first on Kosmo Digital.