Sungai bukan tong sampah, tempat buang sisa lembu korban

PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha.
Ia susulan beberapa video tular di media sosial semalam menunjukkan sisa haiwan seperti kulit, kaki dan organ dalaman dibuang ke dalam sungai oleh para petugas.
“Setiap kali tibanya musim korban, amalan ibadah ini membuka ruang untuk kita berbuat baik, bukan saja kepada sesama manusia, tetapi juga kepada alam sekitar.
“Namun sayangnya, masih berlaku perbuatan membasuh najis dan perut lembu terus ke dalam sungai. Niat mahu membersih, tapi tindakan ini membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan,” kata PHM menerusi satu perkongsian di Facebook.
Menurut PHM, cara terbaik mengendalikan organ dalaman dan najis lembu korban adalah dengan memilih kawasan yang jaraknya sekurang-kurangnya 50 hingga 100 meter dari sungai, longkang atau sumber air awam.
“Perut dan usus tidak boleh dibasuh di sungai. Sediakan lubang najis atau tong najis khas yang dikambus selepas digunakan. Najis dan organ buangan dikumpulkan dalam plastik hitam tebal dan dihantar ke tapak pelupusan.
“Sisa haiwan ditanam dalam lubang dalam, jauh dari sungai dan rumah dan jangan biarkan sisa terbuka atau dimakan haiwan liar. Sungai itu hidup, ia bukan tong sampah,” tegas PHM. – KOSMO! ONLINE
The post Sungai bukan tong sampah, tempat buang sisa lembu korban appeared first on Kosmo Digital.