Bh5apjsuhakam o bhfield image listing featured v2. Var 1722840835

Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya majikan dikenakan hukuman lebih berat – SUHAKAM

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi memastikan syarikat atau majikan boleh dikenakan hukuman lebih berat jika pemandu mereka memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Ragunath Kesavan, berkata tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat itu termasuklah disenaraihitam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan itu juga disifatkan penting bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang cuai sehingga mengakibatkan kematian, apatah lagi ia disebabkan penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan boleh menimbangkan untuk meminda APJ dengan memasukkan klausa bahawa pihak syarikat atau majikan turut dikenakan tindakan tegas. Pengarah dan pemegang saham syarikat terbabit sekurang-kurangnya mesti disenaraihitamkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik maut selepas rumah didiami mereka dirempuh treler yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin, Kampung Ketapang Hilir awal pagi Sabtu lalu.

Dalam nahas kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Pemandu berusia 40 tahun, beralamat dari Taman Bukit Indah, Johor Bahru itu, disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan Seksyen 44 APJ 1987 (Akta 333/87), individu memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Ragunath berkata, tindakan terhadap majikan juga boleh dibuat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA).

Ketika ditanya sama ada pemandu lori terbabit perlu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, Ragunath bagaimanapun berkata, ia perlu dinilai membabitkan semua fakta kes.

“Pendakwaan adalah berdasarkan keterangan dan jugak fakta bersabit. Sebelum membuat sebarang pendakwaan, pihak pendakwa akan mengkaji semua fakta untuk memperoleh kesabitan kesalahan.

“Sekiranya intipati mengikut Seksyen 304 tidak cukup, tertuduh akan dibebaskan tanpa hukuman. Oleh itu pendakwaan akan menilai semua fakta kes untuk memperolehi kesabitan kesalahan dan memohon hukuman setimpal dengan kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd