Bh19ratifikasi o bhfield image listing featured v2. Var 1718762486

Ratifikasi Konvensyen C155 beri kebaikan kapada pekerja – MTUC

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bakal membawa pelbagai kebaikan kepada pekerja di negara ini sekaligus membolehkan undang- undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, tindakan itu membantu mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan, menerusi penyediaan langkah-langkah pencegahan yang berkesan.

Selain itu, katanya, ia meningkatkan keseluruhan produktiviti, dengan penumpuan kepada aspek keselamatan dan kesihatan yang baik di tempat kerja, sekaligus mengurangkan kehilangan hari bekerja akibat kecederaan atau penyakit.

“(Selain itu) pelaksanaan undang-undang yang lebih konsisten dengan ratifikasi ini yang mana undang- undang mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Ini termasuk tanggungjawab majikan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Effendy berkata, pembabitan pekerja dalam proses keselamatan dalam Konvensyen C155 akan menekankan kepentingan pembabitan pekerja dalam perbincangan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Ini akan memberi pekerja lebih suara dan peranan aktif dalam memastikan keselamatan mereka.

“MTUC percaya dengan meratifikasi Konvensyen C155, Malaysia akan memperkukuh komitmennya terhadap hak-hak pekerja dan kesejahteraan mereka, selaras dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh ILO,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MTUC juga berharap lebih banyak konvensyen ILO akan dapat diratifikasikan pada masa akan datang seperti Konvensyen No 87, Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak Berorganisas, selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja.

Selain itu katanya, Konvensyen No. 190, Penghapusan Keganasan dan Gangguan yang juga seiring dengan pindaan Akta Kerja yang baru 2022.

Media sebelum ini melaporkan, dokumen ratifikasi Konvensyen C155 ILO itu diserahkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F Houngbo semasa menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 di Geneva, Switzerland.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bakal menjadi pelengkap kepada pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara susulan pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) (Pindaan) 2022 (Akta A1648) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd