Ada 572 titik panas kebakaran terbuka di seluruh negara babitkan 3, 261 kes – KP Bomba

bh28panas o BHfield image listing featured v2.var 1748421332

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 572 titik panas kebakaran terbuka yang berlaku di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata 572 lokasi itu kerap berlaku kebakaran terbuka dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Bomba bersedia dan sudah mengarahkan semua balai berjaga-jaga di 572 lokasi dikenal pasti berlaku kebakaran terbuka secara berulang dalam tempoh tiga tahun, termasuk kes paling tinggi di Selangor, Johor, Perak, Kedah dan Sabah.

“Jadi, kita mengarahkan semua logistik bersiap sedia melaksanakan pemadaman khususnya pada peringkat awal.

“Pada masa sama, bomba berkolaborasi dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta jabatan berkaitan dalam penggunaan aset dalam operasi pemadaman kebakaran,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, 277 pegawai dan anggota seluruh Selangor menerima surat penghargaan membabitkan 102 penerima Pingat Perkhidmatan Bomba, 116 penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, 29 penerima Perkhidmatan 30 Tahun dan 12 penerima Perkhidmatan Terpuji.

Nor Hisham berkata, kebakaran terbuka ini membabitkan kebakaran sampah, belukar, hutan dan kebakaran tanah gambut.

“Sehingga 15 Mei lalu, jumlah kebakaran terbuka di seluruh negara 3,261 kes membabitkan 2,917 kes kebakaran belukar dan lalang, kebakaran hutan (229) dan kebakaran kebun serta ladang berjumlah 115 kes.

“Bagaimanapun, bagi kes kebakaran belukar dan lalang tahun ini, banyak penurunan berbanding tahun lalu kerana sehingga tempoh hingga April tahun lalu sebanyak 9,535 kes berbanding tahun ini,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini kes letupan saluran paip gas di Putra Height, Subang Jaya, beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ujian kekerasan spesimen yang sudah dihantar ke SIRIM.

“Secara rasmi, kita belum terima maklumat daripada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Apabila dapat keputusan itu, kita akan gabungkan dengan penemuan dibuat JKKP dan JBPM bagi membolehkan tindakan seterusnya dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, sebanyak 130 unit kuarters bomba akan dibina di Kota Kemuning dan Shah Alam dengan proses buka tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Mac 2026.

“Pembinaan kuarters dijangka dapat menyelesaikan masalah perumahan pegawai dan anggota di daerah Sepang serta Petaling.

“Setakat ini, 430 unit kuarters sedia ada di Selangor dengan 66 permohonan senarai menunggu sejak 2023,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles