Bh26tampaljln o bhfield image listing featured v2. Var 1732615874

Aktiviti tampal jalan oleh NGO berkurangan – Ahmad Maslan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menampal jalan rosak dilihat semakin berkurangan, susulan kepantasan konsesi yang dipertanggungjawabkan menjalankannya dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui, pihaknya sukar untuk menghalang kegiatan NGO untuk menampal jalan rosak di negara ini.

“Bagaimanapun, harapan kami penampalan itu dibuat oleh mereka yang pakar penampalan jalan ini.

“Tidak semua orang pakar untuk tampal jalan berlubang. Kita bagi konsesi yang berkaitan untuk menampal supaya lubang itu ditampal dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keselamatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif; Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Mohd Hatta Zakaria dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa NGO dilihat mengambil inisiatif sendiri dengan menampal jalan berlubang demi keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, terdapat dua sebab mengapa 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya belum menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF).

Katanya, sebab pertama kerana kebanyakannya berpendapat mereka sendiri berupaya untuk melaksanakan MLFF.

Kedua katanya, adalah disebabkan adanya konsesi atas konsesi atau terdapat satu lagi syarikat yang mendapat konsesi bagi melaksanakan MLFF.

“Sekarang ini, 33 itu sudah konsesi. Mereka diberikan konsesi atas lebuh raya yang mereka bina.

“Konsesi satu lagi atas mereka itu ialah MLFF ini, diatur oleh satu syarikat terhadap mereka. Dan syarikat itu mendapat konsesi untuk MLFF. Itu maksudnya konsesi atas konsesi,” katanya.

Menyentuh mengenai Hari Keselamatan PLUS, Ahmad memuji langkah syarikat konsesi itu memastikan keselamatan pekerja mereka ketika melaksanakan tugas harian.

Beliau juga mengharapkan syarikat konsesi lain mengikut jejak langkah PLUS yang menerima pensijilan ISO 39002:2020-Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd