
Bomba akan cadangkan amalan terbaik pengurusan saluran gas, elak insiden Putra Heights berulang
bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang meneliti amalan terbaik digunapakai di peringkat antarabangsa berkaitan pengurusan saluran gas bagi mengelak insiden kebakaran di Putra Heights berulang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata cadangan amalan terbaik itu akan disampaikan kepada pihak berkaitan termasuk PETRONAS.
“Kita akan mencadangkan atau melihat perbandingan amalan terbaik yang dibuat di seluruh dunia untuk kita bagi cadangan kepada pihak PETRONAS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima antara JPBM dan CLW Special Automobile Sdn Bhd (CLW) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Nor Hisham berkata, lima pegawai siasatannya masih berada di lapangan bagi mengumpul maklumat serta menjalankan kajian bersama agensi teknikal lain.
“Buat masa ini, ia masih dalam peringkat siasatan dan sedang membuat kompilasi awal data yang kita peroleh.
“Sebaik sahaja semua data itu diperoleh (dan diproses), kita akan duduk bersekali dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (untuk melihat) data berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Nor Hisham menyerahkan setuju terima kepada wakil CLW, Khor Song Joo dalam urusan pelupusan dan perolehan 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) milik JBPM.
Menerusi kerjasama itu, CLW akan mengambil 30 jentera terbabit, masing-masing berusia lebih 20 tahun dianggarkan bernilai RM2.32 juta dan menggantikannya dengan 30 unit FRT baharu bernilai RM1.5 juta setiap satu.
Nor Hisham berkata, semua jentera terbabit dijangka diterima dalam tempoh enam bulan ini.
“Pelaksanaan perolehan ini adalah langkah tepat bagi memastikan khidmat kebombaan dan penyelamatan lebih berkesan disalurkan kepada masyarakat.
“Pemerkasaan aset JBPM dengan kesiapsiagaan jentera FRT ini sudah pasti mampu membantu meningkatkan pencapaian sasaran masa tindak balas yang ditetapkan iaitu di bawah 10 minit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd