Gesa tindakan lebih tegas, syor teknologi kesan pemandu mabuk
PUTRAJAYA: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta mempertimbangkan penggunaan teknologi pengesan pemandu mabuk dalam kenderaan bagi mencegah tragedi berulang.
Presidennya, Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail, berkata MSOSH memandang serius insiden kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal yang dirempuh pemandu dipercayai mabuk dan di bawah pengaruh dadah yang dilaporkan media.
Beliau berkata, tragedi berkenaan bukan sekadar satu kemalangan jalan raya biasa tetapi satu bentuk kecuaian serius yang meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.
“Kejadian itu sekali lagi membuktikan bahawa masalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah masih menjadi ancaman serius kepada keselamatan awam di Malaysia.
“Setiap kali tragedi seperti ini berlaku, kita akan mendengar janji tindakan tegas, namun hakikatnya kes seumpama ini terus berulang dan meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Fakhrul berkata, dalam kebanyakan kes pemandu mabuk, mangsa yang terkorban bukanlah pemandu itu sendiri, sebaliknya pengguna jalan raya lain seperti penunggang motosikal, pejalan kaki serta individu yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perbuatan terbabit.
Mengulas aspek teknologi, beliau berkata, perkembangan automotif masa kini menyediakan pelbagai sistem yang mampu membantu mengesan pemandu mabuk dan menghalang kenderaan daripada dipandu.
Antaranya pembangunan Driver Alcohol Detection System for Safety (DADSS) di Amerika Syarikat yang menggunakan sensor khas untuk mengesan kandungan alkohol dalam nafas atau melalui sentuhan pemandu secara automatik dan boleh menghalang kenderaan daripada dihidupkan jika melebihi had dibenarkan.
Selain itu, teknologi Driver Monitoring System (DMS) yang menggunakan kamera dan sensor turut berupaya memantau tingkah laku pemandu termasuk tahap kewaspadaan, pergerakan mata dan corak pemanduan.
“Teknologi untuk mencegah pemandu mabuk sudah wujud, yang masih dipersoalkan sekarang ialah kesungguhan kita untuk melindungi nyawa rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MSOSH berpandangan hukuman dan denda terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah perlu dikaji semula supaya lebih tegas dan memberi kesan pencegahan yang kuat.
Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga 10 tahun atau lebih.
Namun, beliau berkata, tragedi yang terus berlaku menunjukkan hukuman sedia ada mungkin masih belum cukup memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
“Jika kes pemandu mabuk terus berlaku dan meragut nyawa pengguna jalan raya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan hukuman dan denda yang lebih berat supaya mesejnya jelas, pemanduan mabuk tidak akan ditoleransi,” katanya.
Pada masa sama, MSOSH berpandangan Kementerian Pengangkutan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah secara menyeluruh.
Ahmad Fakhrul berkata, kejadian berulang menunjukkan pendekatan sedia ada masih belum cukup berkesan dan perlu dinilai semula dengan langkah yang lebih tegas serta inovatif.
“Selagi sikap sambil lewa terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah tidak ditangani secara serius, kita akan terus membaca berita kematian yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd