Insiden Putra Heights: Laporan siasatan PDRM dibentang minggu depan

BH30BENTANG3DO BHfield image listing featured v2.var 1745999922

SHAH ALAM: Laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini dijangka dibentangkan dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketika ini polis sudah menamatkan siasatan berkaitan kecuaian, khianat ataupun kesalahan jenayah berhubung insiden berkenaan.

“Laporan sedang disiapkan dan kita jangkakan dalam tempoh seminggu daripada sekarang. PDRM akan membentangkan laporan untuk perhatian masyarakat dan ia akan dinilai oleh jawatankuasa yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga giat melaksanakan siasatan sejak hari pertama hingga kini.

“Beberapa penutupan jalan sebelum ini bagi kawasan-kawasan siasatan akan ditarik semula bagi membenarkan jalan itu dibuka.

“Hanya Pos Kawalan Hadapan di kawasan bencana dikekalkan supaya kita dapat kawal dan membenarkan pihak seperti JKKP serta pihak teknikal lain melakukan siasatan lanjut.

“Saya anggarkan JKKP memerlukan sekurang-kurangnya sebulan dari sekarang untuk memuktamadkan laporan siasatan itu sebelum dibentangkan ke kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles