bh06ganggu o BHfield image listing featured v2.var 1743931915

‘Jarak antara paip kumbahan dibuat kontraktor dan paip gas adalah 1.6 meter, keadaan paip Petronas tak diganggu’ – Polis

fahmy.azril@bh.com.my

SUBANG JAYA: Hasil siasatan awal mendapati keadaan fizikal paip gas bawah tanah yang meletup dalam kejadian baru-baru ini, tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia berdasarkan siasatan dijalankan pihaknya dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang sebuah syarikat kontraktor.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita dapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada di situ. Keterangan lanjut didapati kerja korekan yang dibuat kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan itu dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.

“Kerja korekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang kira-kira 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.

“Kerja galian dilakukan dengan tiga ekskavator, satu bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe ini sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan serta meninjau kedudukan paip Petronas.

“Pihak polis dapati paip gas Petronas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata kerja galian ini dilakukan dan dipantau polis bersama Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor.

Beliau berkata, penentuan sama ada kerja pengorekan oleh kontraktor di kawasan itu menjadi punca letupan saluran paip gas bawah tanah akan diputuskan selepas siasatan lanjut dijalankan.

“Adakah kerja korekan oleh kontraktor ini mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan saluran paip di kawasan itu didedah dan disiasat lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd