
Kebakaran di Putra Heights: Keadaan fizikal paip gas tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata
fahmy.azril@bh.com.my
SUBANG JAYA: Hasil siasatan awal mendapati keadaan fizikal paip gas bawah tanah yang meletup di Putra Heights, Selasa lalu, tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia berdasarkan siasatan dijalankan pihaknya dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana siasatan lanjut berkaitan insiden letupan paip gas itu masih lagi dijalankan.
“Didapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada di situ. Keterangan lanjut didapati kerja mengorek oleh kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.
“Kerja-kerja korekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.
“Kerja-kerja galian dilakukan dengan tiga ekskavator, satu bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe ini sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip PETRONAS yang dipercayai berada di kedalaman antara enam dan tujuh meter.
“Pihak polis dapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kerja galian itu dilakukan dan dipantau oleh polis bersama PETRONAS, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor.
Sama ada kerja pengorekan oleh kontraktor di kawasan itu menjadi punca letupan saluran paip gas bawah tanah, beliau berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan.
“Adakah kerja-kerja korekan oleh kontraktor ini ada mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan pipeline di kawasan tersebut didedah dan disiasat lanjut,” katanya.
Selasa lalu, kebakaran besar tercetus susulan letupan saluran paip gas bawah tanah yang terletak berdekatan laluan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Putra Heights.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran itu membabitkan saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Kesan kebakaran itu juga menyebabkan bahang panas dirasai kediaman penduduk yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd