
Kebakaran saluran paip gas: Siasatan polis belum dapat dimulakan
fahmy.azril@bh.com.my
SUBANG JAYA: Siasatan di kawasan insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, belum dapat dimulakan lagi kerana masih dalam fasa menstabilkan ground zero (lokasi kejadian).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lokasi kejadian itu ketika ini berada dalam keadaan sangat tidak stabil.
Jelasnya, ia akibat letupan dan kini kawah letupan berkenaan ditakungi air akibat hujan.
Justeru, katanya pelan tindakan teknikal membabitkan empat fasa pemulihan bencana akan dijalankan supaya siasatan di lokasi kejadian dapat dijalankan kelak.
“Fasa pertama membabitkan pengaliran sementara ‘Monsoon Drain’ yang merentasi paip gas PETRONAS selesai hari ini. Fasa berkenaan turut membabitkan kerja-kerja heat mapping (100-650 celcius) merangkumi kawasan seluas 300 meter radius.
“Fasa dua untuk memastikan keselamatan dan kestabilan tanah. Penstabilan keadaan tanah sebelum kerja pengorekan untuk mendedahkan saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.
“Dalam fasa itu juga dilakukan kerja-kerja ground scanning (imbasan tanah), soil grading (pengredan tanah) dan pemasangan seet pile bermula 7 hingga 15 April ini,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.
Hussein berkata fasa ketiga pula memudah cara proses siasatan oleh DOSH.
Pada waktu itu, katanya polis boleh memulakan kerja untuk mengenal pasti punca kejadian di kawasan berkenaan.
“Fasa empat merangkumi proses memudah cara proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan oleh PETRONAS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd