KKR kenakan syarat ketat pembangunan infrastruktur elak gangguan utiliti bawah tanah

BH18PETA O BHfield image listing featured v2.var 1744967957

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan beberapa syarat ketat terhadap pembangun projek infrastruktur atau kontraktor bagi memastikan keberadaan utiliti bawah tanah seperti paip gas, elektrik dan air tidak terganggu, sekali gus mendatangkan risiko awam.

Menurut kementerian itu, antaranya mensyaratkan pelaksanaan ‘Utility Detection and Mapping’ (UDM), penyediaan ruang rezab aset utiliti, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan pengukuhan dokumen rujukan penting.

Kata kementerian itu, dalam setiap pelaksanaan pembangunan infrastruktur, UDM perlu dilaksanakan bagi mengelakkan keberadaan utiliti bawah tanah seperti paip gas, elektrik dan air tidak terganggu.

“UDM adalah sebahagian daripada skop kerja awalan yang perlu dilaksanakan bagi penyediaan cadangan reka bentuk pembangunan infrastruktur berkenaan.

“Ia juga menjadi langkah awal yang dilaksanakan untuk mengenal pasti lokasi utiliti bawah tanah sebelum kerja pembinaan dimulakan.

“Dari segi ruang rezab aset utiliti pula, KKR menuntut penyediaan rezab utiliti di penghujung Right-of-Way (ROW) bagi laluan baharu, untuk mengelakkan gangguan kepada utiliti sedia ada.

“Penelitian keperluan perlindungan atau pengalihan utiliti sedia ada terutama bagi projek naik taraf atau di kawasan bandar yang padat tanpa ruang rezab yang mencukupi,” kata kementerian itu kepada BH.

Kenyataan KKR itu sebagai mengulas laporan BH bahawa tiada kemas kini data baharu terhadap jajaran dan kedudukan paip gas bawah tanah selepas bertahun-tahun pembinaan dan pembangunan infrastruktur disiapkan, mencetuskan risiko keselamatan kepada orang awam.

Pakar dan perunding pemetaan negara, Jalal Johari yang juga Profesor Adjung Universiti Geomatika Malaysia, berkata banyak saluran paip gas di Malaysia tidak mempunyai pelan siap bina atau as-built yang lengkap, sekali gus sukar untuk memastikan keselamatannya.

Katanya, meskipun pembangunan di kawasan atas laluan paip bawah tanah memperoleh kelulusan pihak berkuasa, ia sebenarnya begitu berisiko dan perlu dielakkan serta memerlukan reka bentuk terperinci, selain pengawasan teliti ketika pembinaan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, KKR berkata, kementerian menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam setiap pembangunan infrastruktur di bawah kawalannya.

“Langkah itu penting dilakukan bersama pemilik utiliti seperti syarikat gas, bekalan air, elektrik, komunikasi dan pembetungan.

“Proses ini dilaksanakan semasa penyediaan ringkasan projek (project brief), kajian nilai (value assessment) dan kajian nilai kejuruteraan (value engineering),” katanya.

Selain itu, KKR menjelaskan, pihaknya sudah membangunkan sebuah dokumen rujukan iaitu Prosedur Permohonan Pemasangan Utiliti Di Jalan Persekutuan Tahun 2022 kepada pihak pemaju dan kontraktor.

“Dokumen penting ini menggariskan syarat-syarat pematuhan kepada pihak pemaju dan syarikat utiliti bagi menjaga keselamatan aset jalan raya dan utiliti yang berkaitan,” katanya.

Di peringkat pembinaan, pula KKR menyatakan, agenda berkaitan penyelarasan utiliti menjadi agenda tetap mesyuarat yang dilaksanakan secara bulanan di tapak bina.

“KKR akan meneruskan penyelarasan bersama pemilik dan syarikat utiliti melalui perbincangan di dalam Mesyuarat Pra-Pembinaan dan Mesyuarat Tapak, bagi memastikan kelancaran penyelarasan di lapangan,” katanya.

Menyentuh mengenai pelaksanaan perkara bagi melindungi aset infrastruktur, KKR memberi penekanan terhadap faktor keselamatan di dalam pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko dan Pelan Pengurusan Trafik di peringkat perancangan dan pelaksanaan projek pembinaan.

“Kementerian mengeluarkan syarat kepada semua pemilik utiliti untuk mematuhi peraturan, prosedur pemasangan, pengalihan dan perlindungan aset utiliti di jalan persekutuan menerusi Garis Panduan Pengalihan Utiliti yang dikeluarkan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Garis Panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Garis Panduan Suruhanjaya Tenaga.

“Pemilik utiliti juga perlu mengemukakan lukisan terbina (as-built drawing) dan melaksanakan penandaan secara fizikal di tapak, setelah projek siap sepenuhnya.

“Selain itu, penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) diperlukan untuk menyelaras maklumat utiliti dengan penyedia perkhidmatan dan pemaju projek.

“Malah penerapan teknologi pemetaan utiliti bawah tanah yang lebih tepat, termasuk penggunaan sistem pengesanan bawah tanah dan Geographic Information System (GIS),” katanya.

Bagi projek melebihi nilai RM20 juta, KKR menerusi JKR akan menyediakan pelan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (S-Plan) selaras dengan tatacara dan prosedur Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR Malaysia serta mewajibkan keperluan Safety Health Officer (SHO) selaras dengan Akta pembinaan yang berkuat kuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles