Bh17kontrakk bhfield image listing featured v2. Var 1718583092

Kontrak sosial lebih adil kepada dunia, bukan ubah sejarah negara

bhrencana@bh.com.my

PENYERTAAN Malaysia diketuai Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-112 di Geneva, baru-baru ini amat penting dan signifikan kerana negara dapat mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (No 155) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) kepada Ketua Pengarahnya, Gilbert F Houngbo.

Artikel 4 konvensyen ini menghendaki setiap negara anggota merumus, melaksanakan dan mengkaji semula secara berkala dasar nasional koheren mengenai keselamatan pekerjaan, kesihatan pekerjaan serta persekitaran kerja.

Matlamat dasar ini adalah untuk mencegah kemalangan dan kecederaan kepada kesihatan berpunca daripada, berkaitan dengan atau berlaku semasa bekerja, dengan meminimumkan sejauh yang praktikal, punca bahaya wujud dalam persekitaran kerja.

Tidak diketahui apa berlaku menyebabkan Malaysia terlewat selama 43 tahun untuk meratifikasi konvensyen diterima pakai ILO sejak 22 Jun 1981 lagi tetapi hanya selepas Sim mengambil alih jawatan Menteri Sumber Manusia barulah ia berlaku.

Bagaimanapun, lebih baik lewat daripada tidak pernah. Penyertaan Sim dan delegasi dalam konvensyen ini akhirnya membuktikan komitmen tinggi kerajaan memastikan standard perburuhan negara dapat ditingkatkan selari dengan standard perburuhan antarabangsa.

Turut menyaksikan acara bersejarah peratifikasian itu ialah Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani dan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman atas dasar semangat tripartite di Malaysia.

Sim juga menyampaikan ucapan negara dalam sidang plenari menyentuh pembaharuan kontrak sosial bagi menyokong tema persidangan ILC tahun ini, iaitu Menuju kepada Kontrak Sosial Baharu.

Dalam Laporan Ketua Pengarah ILO kepada persidangan ini, Houngbo menyatakan kontrak sosial merujuk kepada pemahaman tersirat atau kadang kala eksplisit mengenai tanggungjawab kolektif antara satu sama lain yang dinyatakan dalam norma, institusi kolektif dan dasar memenuhi janji Deklarasi Philadelphia bahawa ‘semua manusia, tanpa mengira bangsa, kepercayaan atau jantina, mempunyai hak untuk mengejar kesejahteraan material dan perkembangan rohani mereka dalam keadaan kebebasan dan maruah, keselamatan ekonomi dan peluang sama rata.’

Memperbaharui kontrak sosial pula dimaksudkan sebagai ‘menyampaikan keadilan sosial sebagai asas untuk keamanan berpanjangan, kemakmuran bersama, peluang sama rata dan peralihan adil’ dengan prasyarat memperbaharui kontrak sosial serta memajukan keadilan sosial ialah dialog sosial membolehkan kita membentuk komitmen antara rakan tripartit dalam dunia pekerjaan.

Melalui ucapan negara dalam sidang plenari, Sim mengulas Laporan Ketua Pengarah ILO dengan menyatakan gesaan Houngbo supaya kontrak sosial diperbaharui sememangnya senada dengan zaman dan pandangan Malaysia yang mahu memberikan keadilan sosial untuk semua.

Tegas Sim: “Dunia memerlukan model pertumbuhan lebih manusiawi. Satu yang membina seseorang secara menyeluruh, bukan menjatuhkan maruahnya. Kita memerlukan rangka kerja tadbir urus baharu memperkasakan lelaki dan wanita, muda dan tua, orang kurang upaya (OKU), semua kaum dan agama, semua orang; bukannya sesuatu berterusan melucutkan hak mereka.

“Model pertumbuhan semasa menyebabkan keuntungan di tangan beberapa kuasa besar, sambil mengenakan beban peraturan, tanggungjawab, kos, malahan moral berat sebelah ke atas seluruh dunia – ini adalah pelucutan hak secara sistematik yang dunia perlu hapuskan jika kita mahu memperbaharui kontrak sosial.”

Gesaan berbeza tuduhan

Oleh itu, gesaan ini berbeza dengan tuduhan sesetengah pihak di negara ini bahawa Sim mahu kontrak sosial dicapai antara tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India sewaktu menuntut kemerdekaan yang antara lainnya meletakkan asas utama kepada Perlembagaan Malaysia, iaitu kedudukan Raja Berperlembagaan, agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa golongan Bumiputera dikaji semula.

Memperbaharui kontrak sosial dikatakan di Persidangan ILO adalah merujuk kepada Deklarasi Philadelphia membabitkan kepentingan golongan pekerja, bukannya membabitkan persetujuan antara kaum di Malaysia.

Lebih penting lagi, dalam sesi perbincangan sembilan pemimpin ASEAN dengan ILO, Sim menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama ILO, sekali gus membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta jabatan dan agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

Sim berkata, KESUMA komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.

KESUMA juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.

Sim yakin, program dikenal pasti, termasuk Persidangan dan Pameran Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) anjuran HRD Corp menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.

Ia dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja, selain memupuk kerjasama dan perkongsian lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan.

Hasrat ini turut didukung Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan ILO, Srinivas Reddy, yang memuji Malaysia kerana menunjukkan kemajuan cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat Malaysia di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusianya.

Reddy yakin KESUMA akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan selaras dengan kedudukan Malaysia mempengerusikan ASEAN.

Begitulah besarnya impak penyertaan Malaysia dalam ILC kali ini.

Penulis adalah Profesor Madya Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), UUM

© New Straits Times Press (M) Bhd