Laporan siasatan letupan paip gas di Putra Heights dijangka keluar akhir Jun

SEPANG: Laporan hasil siasatan polis berhubung kejadian letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada 1 April lalu, akan dikeluarkan akhir Jun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya selesai menjalankan siasatan termasuk meneliti punca sama ada wujud unsur kecuaian atau khianat dalam insiden terbabit.
Ketika ini, katanya, polis menunggu hasil siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PETRONAS bagi mendapatkan spesimen diperlukan.
“Setakat ini, kita mengambil dan mengeluarkan lima spesimen dari tempat kejadian untuk disiasat dan dianalisis oleh JKKP.
“Agensi siasatan teknikal iaitu Jabatan Mineral dan Geosains juga sudah selesai mengambil sampel di lokasi kejadian.
“Kawasan kejadian diserahkan kepada pihak PETRONAS untuk kerja-kerja pemulihan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Sepang di sini, hari ini.
Hussein berkata, sebuah eskavator yang dilapor terbenam dalam kejadian itu akan dikeluarkan selepas kerja-kerja pemulihan kawasan diselesaikan.
Buat masa ini, katanya, tumpuan diberi terhadap kawasan yang mempunyai paip gas dan ia tidak boleh dilakukan serentak kerana boleh mengakibatkan tanah runtuh.
“Selepas kerja-kerja pemulihan di kawasan paip selesai, barulah pihak berkenaan boleh bergerak ke arah tempat eskavator terbabit terbenam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd