BH14HEMPAP O BHfield image listing featured v2.var 1731593060

Lelaki maut dihempap batu kuari

bhnews@bh.com.my

MANJUNG: Seorang lelaki maut selepas dihempap batu ketika mengendalikan mesin pengorek di sebuah tapak kuari di sini, semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan, berkata dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang juga operator mesin pengorek jenis ‘crawler’ bekerja bersama rakannya yang mengendalikan mesin jengkaut.

Menurutnya, ketika melakukan kerja di muka kuari, batu kuari terjatuh dari cerun bersebelahan lalu menghempap mangsa yang sedang bekerja.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja di kawasan kejadian di kuari itu sudah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Majikan diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Perak.

“Pihak kami juga akan menjalankan siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen berkaitan serta merakam percakapan saksi yang dikenal pasti, selain lawatan susulan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum membenarkan pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd