Letupan gas Putra Heights: Tambah jentera, operasi 24 jam percepat proses siasatan

BHCIPATKAN BHfield image listing featured v2.var 1744103652

safeek@bh.com.my

SUBANG JAYA: Dua langkah drastik diambil bagi mempercepat proses siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, Selasa lalu.

Dua langkah itu membabitkan penambahan bilangan jentera dalam kerja pengorekan tempat kejadian, selain melaksanakan operasi selama 24 jam bermula semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setiap agensi teknikal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Petronas memainkan peranan masing-masing dalam proses siasatan di tempat kejadian.

“Pada masa ini tumpuan utama kita dalam mempercepat siasatan ini masih lagi dalam proses menstabilkan tanah untuk ‘expose’ (memperlihatkan) keseluruhan kawasan saluran paip gas.

“Setiap peringkat terlibat dalam kerja proses siasatan dan pembaikan di sini dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hussein berkata, tempoh siasatan berkemungkinan lebih cepat berbanding tempoh dua minggu seperti diumumkan sebelum ini.

“Saya menjangkakan kita akan memperoleh hasil siasatan lebih awal daripada dijangkakan apabila kita menambah jentera untuk kerja pengorekan dan pelaksanaan selama 24 jam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles