Bizh edotcon bhfield image listing featured v2. Var 1718773207

Program Pembangunan Vendor Edotco peluang PKS tingkat keupayaan

bhbiz@nstp.com.my

SUBANG JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka dalam sektor infrastruktur digital dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri melalui program pembangunan kapasiti yang dilancarkan oleh Edotco Malaysia, syarikat infrastruktur telekomunikasi terbesar negara.

Program berkenaan adalah inisiatif strategik dan peluang bagi pembekal dan rakan perniagaan, terutamanya PKS, untuk meningkatkan keupayaan mereka.

Program Pembangunan Vendor (VDP) Edotco bertujuan untuk meningkatkan keupayaan vendor agar selaras dengan piawaian operasi dan matlamat strategik Edotco.

VDP yang baru ditambah baik ini akan merangkumi lima dimensi kritikal dalam industri iaitu Amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHS), Integriti, Pengurusan Kelangsungan Perniagaan, dan Operasi Pelancaran.

Pengarah Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan (GRC) Edotco, Azzahraa Annuar, berkata program VDP ini adalah salah satu usaha syarikat untuk membangunkan dan membantu kumpulan vendor PKS yang kompeten, berdaya saing serta bertaraf global.

“Objektif kami melalui program ini mengharapkan agar rakan-rakan vendor bekerjasama mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampu menaiktaraf Malaysia sebagai negara yang maju serta menyumbang kepada pembinaan negara.

“Dengan melabur dalam program ini dan memberikan pensijilan, kami bukan sahaja meningkatkan prestasi vendor, tetapi juga meningkatkan kredibiliti mereka untuk membida projek di seluruh Malaysia,” katanya semasa Majlis Pelancaran Vendor Edotco (VDP), hari ini, di sini.

Azzahraa berkata, syarikat memulakan langkah pertama dengan melancarkan dimensi ESG, yang memberikan peserta akses kepada Skim Insentif Kelestarian Kerajaan di mana modul ini akan membantu PKS mengamalkan amalan lestari dan berpotensi menerima geran Dana Penerapan ESG bernilai RM40,000 yang diperuntukkan oleh kerajaan.

“Kami berharap program ini akan memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri telekomunikasi yang lebih maju di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Entrepreneur Development and Research (CEDAR), Amirul Imran Ahmat, berkata selaras dengan aspirasi syarikat untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi pembangunan dan transformasi usahawan, CEDAR bekerjasama dengan Edotco dalam meningkatkan daya saing PKS melalui penerapan amalan mampan menerusi program ini.

“Program ini adalah inisiatif yang selari dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk peralihan kepada industri pembuatan yang lebih hijau.

“Kerjasama yang berharga ini membolehkan akses yang lebih besar untuk syarikat mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko ketidakpatuhan ESG dan meningkatkan ketidakcekapan operasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd