Tragedi Putra Heights: Dua langkah drastik percepatkan siasatan

BH8DRASTIK O BHfield image listing featured v2.var 1744108951

safeek@bh.com.my

SUBANG JAYA: Dua langkah drastik diambil bagi mempercepatkan proses siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini.

Langkah itu adalah menambah bilangan jentera dalam kerja pengorekan tempat kejadian serta melaksanakan operasi selama 24 jam bermula semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setiap agensi teknikal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH); Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta PETRONAS memainkan peranan masing-masing dalam proses siasatan di tempat kejadian.

“Pada masa ini tumpuan utama kita dalam mempercepatkan siasatan ini masih lagi dalam proses menstabilkan tanah untuk expose (memperlihatkan) keseluruhan kawasan saluran paip gas.

“Setiap peringkat terbabit kerja-kerja proses siasatan dan pembaikkan di sini, dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hussein berkata, tempoh siasatan berkemungkinan akan lebih cepat berbanding tempoh dua minggu seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Saya menjangkakan kita akan memperoleh hasil siasatan lebih awal daripada yang dijangkakan apabila kita menambah jentera untuk kerja pengorekan dan pelaksanaan selama 24 jam,” katanya.

Hussein berkata, proses siasatan mungkin mengambil masa disebabkan keadaan kestabilan tanah di kawasan digali dalam keadaan lembab berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.

“Setakat ini, masih ada air yang terkumpul namun jumlahnya tidak seperti sebelum ini selepas kerja-kerja penyedutan air dilaksanakan.

Beliau berkata, pihak polis sedang melihat dan siasat dari pelbagai sudut termasuk faktor keselamatan dan pemantauan sebelum menuju ke arah proses untuk menyiasat sebarang kemungkinan yang menyebabkan letupan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles