Hampir lima hari padam kebakaran kilang di Bukit Selambau
SUNGAI PETANI: Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir lima hari bagi memadam kebakaran tiga kilang memproses barangan kitar semula yang terlibat dalam kejadian terbabit di Bukit Selambau, Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada pukul 12.07 tengah malam tadi setelah kerja-kerja penyiasatan selesai.
Katanya, susulan itu Pusat Kawalan Bencana (PKB) Bukit Selambau membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya; BBP Guar Chempedak; BBP Sungai Petani; BBP Kepala Batas dan BBP Kulim Hi-Tech serta bomba sukarela turut ditutup.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) juga sudah memasuki tapak kejadian bagi membuat pengesanan gas sebelum mendapati keadaan persekitaran terkawal,” katanya di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, bomba menerima panggilan pada pukul 7.57 malam membabitkan kebakaran tiga gudang penyimpanan barangan terpakai terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri termasuk premis yang meleburkan barangan tersebut.
Kebakaran itu turut menyebabkan berlaku letupan dan percikan seperti bunga api di kawasan kejadian, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.02 malam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu sementara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah juga mengesyaki premis-premis itu beroperasi secara haram kerana tiada lesen dan permohonan dikemukakan kepada pihaknya.
JAS turut merakam percakapan dua individu iaitu pemilik tanah dan penyewa warga tempatan bagi membantu siasatan selain turut membuat penyitaan peralatan di dalam premis tersebut. –UTUSAN
The post Hampir lima hari padam kebakaran kilang di Bukit Selambau appeared first on Utusan Malaysia.