7a908923 9c58 467c a4f7 c2db8a2d2cc0 1024x767 1

Kualiti udara kawasan premis terbakar terkawal

7a908923 9c58 467c a4f7 c2db8a2d2cc0 1024x767 1

7a908923 9c58 467c a4f7 c2db8a2d2cc0

SUNGAI PETANI: Kualiti udara ambien di sekitar Bukit Selambau khususnya kawasan kebakaran melibatkan tiga premis pada Ahad lalu adalah terkawal.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hujan yang beberapa kali melanda kawasan itu juga membantu membersihkan udara yang tercemar.

Bagaimanapun katanya, kawasan yang terbakar (ground zero) masih lagi mempunyai kandungan pencemar yang agak tinggi dan memerlukan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk memasuki kawasan itu.

“JAS turut menerbangkan dron bagi merakam keseluruhan visual kawasan terbabit dan mengesan sekiranya terdapat pencemaran yang berasal dari kawasan terlibat atau punca-punca pencemaran lain berhampiran.

“Kita turut memasang dua alat pengukur kualiti udara iaitu Meter Cerex yang dapat mengesan dan mengukur sekitar 350 gas pencemar dan meter Grimm untuk mengukur habuk PM10 dan PM2.5,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, sampel-sampel buangan termasuk sampel buangan elektrik dan elektronik (e-waste) telah dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Kedah untuk analisis.

Semalam, JAS mengesahkan tiga premis yang terlibat dalam kebakaran besar itu dipercayai beroperasi secara haram kerana tiada sebarang kebenaran atau lesen diperolehi di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hanya sebuah daripada premis terbabit pernah mendapat kelulusan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 11 Jun 2020, namun tidak membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi.

Dua premis lagi tidak pernah merujuk atau mendapat apa-apa kelulusan daripada JAS yang secara tidak langsung melanggar akta berkenaan.

Dalam pada itu, bomba memaklumkan, kerja-kerja pemadaman api masih giat diteruskan sehingga kini setelah 70 peratus kawasan kebakaran itu berjaya dikawal.

Pasukan operasi itu turut menerima jentera eskavator daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) bagi membantu operasi pemadaman. -UTUSAN

The post Kualiti udara kawasan premis terbakar terkawal appeared first on Utusan Malaysia.