Tumpahan minyak singapura

Tumpahan minyak Singapura cemar 1km dari garis pantai

Tumpahan minyak singapura

KOTA TINGGI – Insiden tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal di pelabuhan dalam wilayah Singapura telah mengakibatkan kesan pencemaran kira-kira 1 kilometer (km) garis pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia di sini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian perlanggaran kapal pada Jumaat lalu itu juga telah menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

“Dengan keadaan ombak bergelora selama beberapa hari, tumpahan minyak tersebut hanyut ke perairan negara kita iaitu di Pengerang dan pada pagi Rabu kesan tumpahan minyak ditemui di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia. Ia mencemarkan kira-kira 1 km garis pantai di sini.

“Setelah penyelarasan daripada pelbagai pihak dan agensi, kerja-kerja pembersihan di kedua-dua pantai tersebut bermula secara rasmi pukul 9.30 pagi tadi.

“Syarikat insurans yang bertanggungjawab terhadap syarikat perkapalan yang terlibat telah melantik sebuah syarikat kontraktor berkemampuan bagi membersihkan bahan bahan kimia ini untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan. Semua kos akan ditanggung oleh syarikat insurans tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Laut dan lain-lain akan terus memantau kerja-kerja tersebut bagi memastikan kawasan pantai yang tercemar dengan minyak tersebut dibersihkan dan keadaan kembali seperti biasa.

Katanya, pihak berkuasa juga akan memantau keadaan di permukaan laut dan bersedia pada bila-bila masa.

“Jabatan Alam Sekitar Johor dan Jabatan Alam Sekitar Singapura juga akan terus berkerjasama dan berkongsi maklumat untuk memastikan insiden pencemaran minyak ini dapat diselesaikan dengan berkesan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

 

The post Tumpahan minyak Singapura cemar 1km dari garis pantai appeared first on Kosmo Digital.