PETRONAS Gas perkukuh komitmen terhadap keselamatan awam

PETRONAS

Ketika orang ramai masih memberi tertumpu dan membuat pelbagai spekulasi susulan pengumuman siasatan rasmi insiden paip gas di Putra Heights, PETRONAS Gas Berhad (PGB) tampil secara terbuka.

Menegaskan perkara penting, keselamatan bukan sekadar slogan. Ia teras kepada sistem, budaya, dan amalan harian.

Penemuan hasil siasatan baru-baru ini, mengesahkan pendirian PGB, infrastruktur saluran paip miliknya berada keadaan kukuh serta dibina mengikut piawaian kejuruteraan dan peraturan keselamatan ketat.

Namun, seperti masyarakat awam, PGB turut memandang serius isu pergerakan tanah yang dibangkitkan dan komited menanganinya secara telus serta bertanggungjawab.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman, menegaskan infrastruktur saluran paip kendalian syarikat itu sudah beroperasi dengan selamat selama lebih 30 tahun.

Katanya, tahap keselamatan itu disokong oleh sistem pemantauan berterusan, pelan operasi, penyelenggaraan serta pemeriksaan terancang yang dilaksanakan mengikut kod dan piawaian antarabangsa.

“Saluran paip kami sudah melalui pelbagai peringkat penilaian ketat termasuk ujian hidrostatik, pemeriksaan in-line inspection serta audit bebas oleh pihak ketiga, semuanya selaras dengan piawaian ASME B31.8 dan B31.4,” katanya.

Walaupun laporan siasatan turut menyentuh faktor alam sekitar dan geoteknikal, PGB percaya, keyakinan masyarakat tidak boleh diambil ringan, ia perlu dibina dengan usaha berterusan.

“Kami tampil hari ini, untuk memberi penjelasan teknikal yang menyeluruh, memperkukuh komitmen terhadap keselamatan awam, pematuhan peraturan serta kewujudan bersama komuniti secara berhemah, bertanggungjawab dan mampan,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada aspek tanah tidak dinilai sebelum pembinaan, PGB menegaskan, keselamatan serta integriti infrastruktur Saluran Gas Utama (PGU) sentiasa menjadi keutamaan sepanjang keseluruhan kitaran hayat projek.

Bermula daripada peringkat reka bentuk, pembinaan sehinggalah ke fasa operasi.

Menurut syarikat itu, pada peringkat reka bentuk, PGB mematuhi kod kejuruteraan antarabangsa yang diiktiraf dengan mengambil kira penilaian geoteknikal serta spesifikasi teknikal, disesuaikan berdasarkan bentuk dan keadaan muka bumi.

Fasa pembinaan dikawal rapi melalui pemeriksaan ketat ke atas kualiti bahan, ujian kimpalan serta pengesahan pihak ketiga menggunakan kaedah Non-Destructive Testing bagi memastikan ketepatan dan keselamatan struktur paip.

Pada fasa operasi pula, PGB melaksanakan pemantauan berkala termasuk pemeriksaan in-line inspection serta penilaian integriti menyeluruh, sebagai jaminan kepada prestasi dan keselamatan jangka panjang.

“Pendekatan menyeluruh ini yang membolehkan PGB memperoleh Permit Pemasangan (PTI) dan Permit untuk Beroperasi (PTO) daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), hanya selepas semua kriteria keselamatan dipenuhi secara teliti.

“Infrastruktur kami sudah diperiksa, disahkan dan diperakui. Ia bukan sekadar dakwaan, ini fakta.

“Kini, fokus kita harus beralih daripada spekulasi kepada mengembalikan keyakinan melalui ketelusan,” tegas Abdul Aziz.

Penilaian teknikal

Mengenai kebimbangan kesesuaian tanah di kawasan pemasangan saluran paip, Abdul Aziz menjelaskan, sebelum sebarang kerja pembinaan dimulakan, jurutera dan perunding sudah menjalankan penilaian teknikal terhadap laluan, kestabilan tanah dan geoteknikal secara terperinci, sebelum reka bentuk paip dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

“Ketika itu, semua keadaan tapak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Malah, reka bentuk dan pembinaan paip turut disesuaikan mengikut jenis tanah di setiap kawasan.

Berdasarkan kadar rintangan tanah (soil resistivity), lapisan perlindungan (coating) yang berbeza digunakan bagi memastikan ketahanan jangka panjang dan perlindungan terhadap hakisan.

Sebagai contoh, tanah kurang korosif hanya memerlukan salutan standard, manakala tanah lebih lembap seperti gambut atau kawasan berpaya memerlukan sistem perlindungan tambahan, termasuk salutan anti-hakisan khusus.

Pendekatan ini memastikan keutuhan struktur paip sentiasa terpelihara walaupun merentasi pelbagai jenis bentuk muka bumi.

“Insiden ini bukan kegagalan dalam pematuhan prosedur, tetapi kesan daripada perubahan lapisan tanah bawah permukaan yang berlaku secara beransur-ansur, satu cabaran yang menuntut ketahanan bandar lebih kukuh serta pengawasan berterusan.

“Ia turut menyerlahkan perlunya pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek keselamatan bandar dan perancangan infrastruktur. Ini bukan hanya pengajaran kepada sektor tenaga, tetapi turut membabitkan pemaju perumahan, perancang dan pihak berkuasa kawal selia,” jelasnya.

Menjawab spekulasi berkaitan risiko serupa sepanjang 2,680 kilometer jajaran PGU beliau menegaskan, PGB secara proaktif sudah menjalankan penilaian tambahan terhadap pergerakan tanah di lokasi utama.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, walaupun tidak diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Menggunakan teknologi Geopig, Magnetic Flux Leakage (MFL), Intelligent PIG dan Electro-Magnetic Locator, PGB tidak mengesan sebarang lokasi dengan keadaan yang sebanding dengan Putra Heights, sekali gus mengesahkan tahap keselamatan dan keutuhan struktur paip itu.

“Kini, kepercayaan masyarakat perlu dibina semula dengan kejujuran dan mengambil tindakan yang jelas,” tegas beliau.

Kehidupan harmoni bersama infrastruktur: Satu realiti baharu?

Intipati utama sesi ini berteraskan konsep “Kehidupan Harmoni Bersama Infrastruktur”– prinsip bahawa komuniti bandar dan infrastruktur tenaga bukan sahaja boleh, malah harus wujud seiring secara selamat.

Dalam era yang semakin bergantung kepada jaminan tenaga, saluran paip tidak perlu dianggap sebagai risiko, tetapi nadi kepada kesinambungan bekalan negara.

“Gas asli menjana antara 40 peratus hingga 50 peratus tenaga elektrik Malaysia. Keutamaan kami adalah untuk memastikan rakyat berasa yakin dan selamat tinggal berhampiran infrastruktur ini,” katanya.

Sebagai contoh, di Putra Heights, PGB sudah membina laluan paip pintasan (bypass line) baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Bagi menjamin kestabilan jangka panjang dan kekuatan struktur, sistem cerucuk kepingan (sheet piling) serta sokongan kejuruteraan telah dipasang untuk melindungi paip.

“Langkah ini direka bentuk untuk mengelakkan sebarang tekanan atau bebanan yang tidak sepatutnya ke atas paip sepanjang operasi.

“Kami bertindak awal, bukan kerana diminta, tetapi ia perkara betul untuk dilakukan,” tegas Abdul Aziz.

2.20petronas scaledAbdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada mangsa kejadian letupan paip gas di Putra Heights di Dewan Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Menuju arah masa depan, katanya PGB terus memperlihatkan tanggungjawab sosial korporatnya serta mempergiatkan sesi libat urus bersama penduduk terjejas, pihak berkuasa tempatan dan badan pemantau keselamatan.

Setakat ini, PGB sudah menyalurkan lebih RM2 juta melalui program CSR untuk bantuan perubatan, pemulihan harta benda dan sokongan komuniti, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Seramai 55 mangsa menerima rawatan hospital ditanggung PGB, manakala RM1.38 juta disalurkan kepada keluarga terkesan dan RM25 juta disumbangkan melalui KPKT bagi pembinaan semula rumah.

PGB turut merancang program kesihatan mental serta mengajak syarikat lain dan pemaju untuk turut bertanggungjawab memulihkan kehidupan dan harapan penduduk.

“Kami komited untuk kekal telus, bertanggungjawab dan sentiasa bersedia memberi maklum balas.

“Setiap fasa kerja dan penambahbaikan keselamatan akan dimaklumkan kepada komuniti berkaitan secara telus dan berterusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles