Whatsapp image 2024 08 03 at 12. 10. 30 9f97b1ee 1024x740 1

150 tan sampah dikumpul dari aktiviti ‘plogging’ Kuantan

Whatsapp image 2024 08 03 at 12. 10. 30 9f97b1ee

KUANTAN – Sebanyak 150 tan sampah berjaya dikumpul menerusi program mengutip sampah yang telah dianjurkan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) sejak tahun lalu di sekitar daerah ini.

Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora, Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata, jumlah terbabit adalah hasil dari 300 aktiviti yang dianjurkan melibatkan komuniti setempat bermula tahun 2023 sehingga kini.

Katanya, aktiviti mengutip sampah atau ‘plogging’ yang dianjurkan selain dalam usaha memulihara sumber alam semulajadi, ianya juga sebagai satu usaha memupuk rasa tanggungjawab sivik masyarakat terhadap kawasan masing-masing.

“Amalan menjaga kawasan rekreasi agar sentiasa bersih telah lama diamalkan di Jepun dan beberapa negara Eropah.

“Sampah perlulah dibuang dengan betul serta sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan sesuatu tempat. Ia juga adalah tabiat mulia yang perlu dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya ketika ditemui selepas program ‘Saya Sayang Bumi – Beach Plogging’ yang diadakan di Pantai Pelindung, di sini hari ini.

Kamal Azizol berkata, program seumpama itu juga diharap dapat menginspirasi pengurusan alam sekitar yang lebih baik disamping memastikan tempat-tempat semula jadi seperti Pantai Pelindung kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

“Ini juga menunjukkan komitmen dan sokongan berterusan Alam Flora bagi mencapai matlamat kerajaan dalam mengurangkan 40 peratus sisa kitar semula yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 150 tan sampah dikumpul dari aktiviti ‘plogging’ Kuantan appeared first on Kosmo Digital.