OKU mampan, membangun Malaysia Madani

PETALING JAYA: Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan golongan yang sering menjadi titipan masyarakat. Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak menitikberatkan keperluan OKU, bahkan ada juga yang keliru akan kehidupan serta peranan yang disumbangkan oleh komuniti tersebut.

Antara aspek penting yang boleh menyokong kemampanan OKU termasuk pendidikan, pembangunan kerjaya, aksesibiliti, hak kesamarataan dan sebagainya.

Aspek inilah biasanya yang menjadi topik hangat apabila OKU atau wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam perbincangan dianjurkan.

Bukan itu sahaja, pihak berkepentingan juga seperti ibu, bapa, waris atau penjaga, institusi kekeluargaan dan komuniti setempat juga menzahirkan rasa empati melalui sokongan terhadap program dilaksanakan, yang melibatkan penyertaan golongan OKU.

Sesungguhnya, masyarakat tidak menuding jari kepada mana-mana pihak kerana masyarakat amat faham mereka yang berperanan “memikul tugas” adalah lebih berat daripada hanya melihatnya.

Isu pendidikan, pembangunan kerjaya, aksesibiliti, hak kesamarataan antara aspek yang sering ditimbulkan oleh wakil orang kurang upaya (OKU).

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM), Norazman Othman berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Oktober lalu, jumlah OKU berdaftar melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) adalah seramai 681,074 orang.

Katanya, jumlah itu masih jauh rendah iaitu 1.8 peratus berbanding laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah terdiri daripada golongan OKU.

“Walaupun bilangannya rendah, jumlah sebenarnya adalah indikator yang menunjukkan golongan OKU mampu memain peranan signifikan dalam masyarakat. Menyedari hakikat ini, Malaysia antara negara yang komited meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD),” katanya.

Malaysia telah mengkategori OKU kepada tujuh kategori utama iaitu pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan ketidakupayaan pelbagai.

Bagi memastikan setiap mereka tidak dipinggirkan daripada menerima proses intervensi sewajarnya, maka setiap kategori OKU mempunyai beberapa sub-kategorinya tersendiri.

Sebagai contoh kategori OKU pembelajaran mempunyai enam sub-kategori iaitu Global Developmental Delay (GDD), Sindrom Down, Attention Defisit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autism Spectrum Disorder (ASD), Intelektual dan Specific Learning Disability (SLD). Pada setiap sub-kategori tersebut juga, terdapat tiga tahap ketidakupayaan iaitu ringan, sederhana dan teruk.

Bagi memastikan hak OKU sentiasa terpelihara, Malaysia turut mengambil inisiatif dengan menyemak semula peruntukan dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 atau Akta 685, Dasar OKU 2007 dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 bagi menjamin aksesibiliti dan kemudahan sepatutnya disediakan dapat dilaksanakan.

Pelaksanaan Akta OKU 2008 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi OKU dan perkara berkaitan dengannya. Walaupun ramai berpandangan ia tidak mempunyai ‘taring’, hakikatnya akta ini tidak pernah dicabar di mahkamah.

Untuk memastikan akta ini dikemas kini mengikut edaran semasa, maka Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat melaksanakan semakan terhadap Akta 685 bermula awal tahun 2022 lagi. Sehingga 31 Oktober 2023, KPWKM telah melaksanakan lima mesyuarat Pasukan Projek Khas (PPK) Semakan Akta OKU 2008 bersama ahlinya yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli akademik dan Persatuan OKU yang telah dilantik bagi tempoh dua tahun bermula 13 Februari 2023 sehingga 12 Februari 2025.

Semakan akta ini selari dengan perancangan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 dan Pelan Strategik JKM 2021-2025. Senarai pindaan yang telah dipersetujui dalam PPK adalah diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan perundangan dan proses seterusnya. KPWKM mensasarkan pindaan kepada Akta 685 ini dibaca kali pertama di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Tempoh Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) 2016–2022 yang telah tamat pada tahun 2022 adalah kerjasama dengan 29 Kementerian dan agensi Peneraju.

Maklum balas diberikan oleh kesemua kementerian dan agensi terlibat, menunjukkan komitmen semua pihak terhadap usaha menyantuni golongan OKU sebagaimana yang digariskan di bawah PTOKU. Penyediaan PTOKU yang baharu adalah mengambil kira enam bidang keutamaan di bawah Jakarta Declaration on the Asian and Pacific Decade of Persons with Disabilities 2023-2032.

Seiring perkembangan teknologi yang pesat dan perubahan lain yang membawa kepada pelbagai isu, cabaran dan peluang baharu, KPWKM sedia untuk berkembang dan memfokuskan perubahan landskap penyampaian perkhidmatan supaya menjadi lebih efektif sepanjang masa.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyatakan aspirasi bagi meningkatkan kesejahteraan OKU dengan penyediaan agihan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pelaksanaan program berteraskan OKU untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan advokasi seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja.

Bagi memperkasa ekonomi golongan OKU, kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan khas sebanyak RM50 juta bagi usahawan mikro OKU yang diselaraskan Bank Simpanan Nasional (BSN). Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menyantuni seramai 19,002 OKU pelbagai kategori ketidakupayaan, sedang menerima perkhidmatan di semua 566 buah PPDK di seluruh negara.

Kerajaan dengan kerjasama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) juga telah berjaya menubuhkan 11 buah Taska OKU dalam enam kategori ketidakupayaan yang merangkumi Sindrom Down, Autisme, Penglihatan, Pendengaran, Fizikal dan Pembelajaran. Sebagai contoh, Taska OKU Autisme di Sibu, Sarawak merupakan yang pertama ditubuhkan khas untuk kanak-kanak Autisme.

Bagi mencapai hasrat ke arah OKU mampan, kerajaan telah menyediakan latihan dan kemahiran untuk menjana pendapatan dalam sistem sokongan untuk membantu komuniti tersebut. Kerajaan juga memberi penekanan kepada kemampuan OKU untuk bersaing dalam pasaran kerja terbuka dengan menubuhkan pusat latihan bagi OKU di negara ini.

Antaranya, bengkel terlindung (Bengkel Daya Klang, Selangor dan Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah); Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi berperanan sebagai pusat kecemerlangan bagi OKU keutamaannya kategori fizikal yang berteraskan latihan kemahiran, pemulihan, industri alat sokongan dan sukan para, ke arah mendayaupayakan OKU ke tahap paling optimum dan produktif supaya berdaya saing dalam pasaran kerja.

Program Job Coach merupakan perkhidmatan yang sediakan untuk membantu OKU mencari pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelayakan akademik mereka. Program yang dilaksanakan ini adalah penyumbang utama kepada kemampanan OKU untuk bekerja dan terus kekal dalam pekerjaannya. Kemampanan ini boleh diterjemahkan kepada keupayaan OKU untuk menjana pendapatan bagi kemandirian dan tidak menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Sejajar tema sambutan Hari Orang Kurang Upaya antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu United In Action To Rescue And Achieve The Sdgs For, With And By Persons With Disabilities, maka sesuai dengan persekitaran tempatan telah dibuat dan dipersetujui untuk tahun 2023 adalah Ke Arah OKU Yang Mampan, Membangun Malaysia Madani.

Tema ini membawa maksud aktiviti memperkasakan OKU yang merangkumi advokasi meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat, pada masa sama, menggalakkan kempen pendaftaran OKU untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori di negara ini bagi merancang program serta perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan, seterusnya untuk merancang penyediaan kemudahan bersesuaian dengan keperluan mereka. – UTUSAN

The post OKU mampan, membangun Malaysia Madani appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles