Tanam 300 pokok pupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar
KUNDASANG: Sebanyak 300 pokok ditanam PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP), menunjukkan dedikasi mereka untuk memberi impak positif kepada alam sekitar.
Program ini diadakan di Pusat Penyelidikan Pertanian Tanah Tinggi di Kundasang, dengan kerjasama Agensi Bantuan Malaysia (MRA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Acara penanaman pokok ini merupakan salah satu inisiatif menarik dalam program Nourish Nature Nurture Future yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar.Â
Program ini mengajak masyarakat untuk menyelami tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian bumi kita.
Ketua Aset Brownfield PTTEP Malaysia, Md Ezamudin Mohd Said berkata, program ini bukan hanya sekadar inisiatif pemuliharaan, tetapi juga usaha untuk mengintegrasikan alam dengan pertumbuhan dan kelestarian sumber semula jadi.
“Acara ini memberikan peluang kepada para pelajar UMS dan masyarakat setempat untuk belajar tentang pentingnya memelihara bumi kita.
“Ini adalah langkah proaktif bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati hasil alam semula jadi,” katanya ketika ucapan pembukaan acara berkenaan yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Program Nourish Nature, Nurture Future yang dilancarkan pada 2023 sudah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk penanaman pokok dan kitar semula sisa elektronik.
PTTEP Malaysia komited untuk mempromosikan kemampanan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar sambil berusaha membentuk naratif yang menggalakkan perubahan positif untuk masa depan.
Inisiatif penanaman pokok ini selaras dengan dua Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat No. 13 – Tindakan Iklim dan Matlamat No. 15 – Hidupan Darat.Â
Ia juga menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia.
Md Ezamudin berkata, kerjasama PTTEP Malaysia, MRA, dan UMS membuktikan bahawa tindakan bersama dapat memberi impak besar dan mencipta perubahan berterusan terhadap alam sekitar serta mendorong masyarakat untuk turut serta.
Terdahulu, PTTEP Malaysia menyumbang kepada Taman-Taman Sabah untuk pemuliharaan di Taman Kinabalu, selaras dengan program penanaman pokok dan ekspedisi Gunung Kinabalu.Â
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran awam dan membentuk budaya pemeliharaan alam yang berterusan dalam masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd