Img 20240120 wa0047

MPD sasar tanam 1,000 pokok setiap tahun

Img 20240120 wa0047

DUNGUN: Majlis Perbandaran Dungun (MPD) menyasarkan penanaman sebanyak 1,000 batang pokok di sekitar pantai dan bandar di daerah ini pada setiap tahun.

Yang Dipertua MPD, Mohd. Rashdan Muda berkata, penanaman pokok itu dibuat bagi menyahut saranan kerajaan di bawah ‘Kempen Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’.

“Selain kawasan pantai, kita akan menanam pokok di sepanjang jalan utama kawasan bandar untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Setiap sebatang pokok yang baru ditanam akan dijaga oleh kakitangan kami hingga pokok itu subur dan tumbuh membesar kerana jika kita tanam dan biar, kita bimbang anak pokok itu berkemungkinan akan mati sekaligus menggagalkan usaha yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kerjasama Penanaman Pokok ‘One Tree One Staf’ bersama Golden Pharos Berhad di kawasan Hutan Rimba Bandar Bukit Bauk, dekat sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 100 pokok kapur ditanam di sekitar kawasan hutan rimba tersebut.

Mohd. Rashdan berkata, beliau berharap program penanaman pokok yang dilaksanakan itu benar-benar memberi impak yang efektif kepada alam sekitar. – UTUSAN

The post MPD sasar tanam 1,000 pokok setiap tahun appeared first on Utusan Malaysia.