
DUN Selangor : Garis panduan seragam daftar taska dikeluarkan Julai ini
SHAH ALAM – Garis panduan bagi penyeragaman dan memudah cara pendaftaran taman asuhan kanak-kanak (taska) di Selangor akan dikeluarkan pada Julai depan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Shaari berkata, pembangunan garis panduan berkenaan dibuat dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi meningkatkan jumlah pendaftaran taska di negeri ini.
Katanya, setakat Januari lalu sebanyak 959 taska berdaftar di negeri ini dan 164 taska lagi dikesan tidak berdaftar.
“Beberapa strategi dilakukan bagi meningkatkan pendaftaran ini termasuk menyediakan Geran Pusat Jagaan (GPJ) Negeri Selangor sehingga RM5,000 yang bertujuan untuk membantu pengusaha menampung kos pendaftaran yang melibatkan pematuhan kepada agensi teknikal.
“Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan Negeri Selangor (JKPPP) turut ditubuhkan yang berfungsi untuk menilai peraturan dan standard sedia ada.
“Selain itu, JKPPP ini juga akan menyediakan garis panduan yang standard berkaitan perkhidmatan penjagaan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Terdahulu, Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Baharu) ingin mengetahui jumlah pengusaha taska yang berdaftar dan tidak berdaftar serta usaha kerajaan untuk meningkatkan pendaftaran.
Jelas Anfaal, strategi meningkatkan pendaftaran taska turut melibatkan memberikan notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah bagi memudahcara proses pendaftaran.
“Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 201 buah taska berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran,” ujarnya.
Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, antara halangan yang dikesan dalam proses pendaftaran taska adalah proses kelulusan tidak seragam dari antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kewangan.
“Ketiga adalah berkaitan pelan bangunan. Sekiranya terdapat struktur tambahan pada binaan asal, mereka perlu dapat kelulusan dan sebahagiannya mengambil masa yang lama serta latihan kepada pengasuh yang dianggap bebanan kepada operator,” katanya.
Kosmo! pada 18 Januari lalu melaporkan sebuah Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Jagaan termasuk Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dibentuk bagi memudahkan cara operator yang kini berdepan kelulusan pendaftaran termasuk syarat berbeza di 12 PBT di Selangor. – KOSMO! ONLINE
The post DUN Selangor : Garis panduan seragam daftar taska dikeluarkan Julai ini appeared first on Kosmo Digital.