Pulau Banding catat rekod MBOR bagi program dioversiti, pemantauan hutan

Whatsapp image 2026 05 13 at 11. 10. 36 am 1024x576 1

Whatsapp image 2026 05 13 at 11. 10. 36 am

GERIK – Landskap hutan hujan Belum-Temengor di Pulau Banding sekali lagi mencipta sejarah apabila merekodkan pencapaian baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Pokok Terbanyak Dinilai Dalam Satu Program Pemantauan Kesihatan Hutan.

Koordinator Penglibatan Awam, Yayasan Pulau Banding (PBF), Muhamad Soleh Abu Hassan berkata, kategori itu dianugerahkan apabila 1,019 pokok berjaya dinilai dalam program Eco Guardian Initiative Programme (eGIP).

“Pencapaian tersebut dilaksanakan menerusi program eGIP 2026 yang menghimpunkan lebih 250 sukarelawan mahasiswa daripada universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta mahasiswa antarabangsa dari Sri Lanka dan Indonesia di UMK-TRaCe, Pulau Banding d sini.

“Kejayaan ini sekali gus menjadikan Pulau Banding sebagai lokasi pertama di Malaysia yang berjaya mencipta rekod MBOR bagi program berteraskan biodiversiti dan pemantauan hutan untuk dua tahun berturut-turut,” katanya di sini hari ini.

Pada tahun lalu, Pulau Banding turut mencatat sejarah menerusi pengiktirafan MBOR dalam kategori Spesies Biodiversiti Terbanyak Dikenal Pasti Dalam Satu Program hasil penemuan dan identifikasi pelbagai spesies biodiversiti di landskap Royal Belum-Temengor.

Program eGIP 2026 merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM), Universiti Malaysia Kelantan, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan PBF dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pengajian Tinggi, Hirman Awang, eGIP 2026 merupakan platform penting dalam memperkukuh budaya kesukarelawanan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.

“Program ini membuktikan bahawa mahasiswa mampu memainkan peranan besar sebagai agen perubahan dalam agenda kelestarian negara.

“Pendekatan ‘living laboratory’ di Royal Belum-Temengor memberi pengalaman lapangan yang sangat bernilai kepada mahasiswa untuk memahami realiti pemuliharaan biodiversiti dan kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem negara,” katanya.

Lebih membanggakan, beliau berkata, kejayaan mencipta rekod MBOR itu menunjukkan bahawa gerakan sukarelawan mahasiswa Malaysia mempunyai potensi besar untuk menghasilkan impak sebenar kepada alam sekitar dan masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa BHEP JPT akan menyalurkan geran khas sebanyak RM5,000 kepada setiap 20 universiti awam melibatkan jumlah keseluruhan RM100,000.

Katanya, ia bagi memastikan kelangsungan eGIP sebagai program tahunan berimpak tinggi yang akan dilaksanakan secara giliran oleh universiti-universiti terlibat. – KOSMO! ONLINE

The post Pulau Banding catat rekod MBOR bagi program dioversiti, pemantauan hutan appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles