Pokok tumbang jalan sultan ismail 1024x682 1

Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail atas tanah persendirian

Pokok tumbang jalan sultan ismail

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu berada di atas tanah persendirian dan di bawah tanggungjawab pemilik tanah.

Menurut kenyataan Unit Media DBKL, pokok tersebut dinyatakan untuk dikekalkan berdasarkan Pelan Pembangunan Landskap yang diluluskan pada tahun 2022.

DBKL berkata, sebanyak 175 pokok telah dikenal pasti berisiko tinggi yang mana sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun dan 147 daripadanya telah ditebang.

Jelasnya, kontraktor yang dilantik telah menjalankan kerja-kerja pemeriksaan pokok yang berusia lebih 30 tahun atau mempunyai ukur lilit lebih 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur sejak tahun 2019.

“Untuk makluman, pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024 di mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut DBKL, pokok yang berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang.

“Pokok berisiko dikenal pasti melalui penggunaan resistograph, picus tomograph atau penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok seperti dahan atau akar yang rosak atau reput, struktur pokok yang condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan dan pangkal pokok.

“Tindakan lanjut akan diambil sekiranya perlu seperti pemangkasan (pruning), crown reduction, pemangkasan terpilih (selective pruning) dan penebangan,” ujarnya.

Bagi mengenal pasti pokok yang berisiko, Pihak DBKL menggunapakai Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL yang telah diterbitkan pada Januari 2019.

Menurut DBKL, pelan tersebut dibuat dengan merujuk pelbagai agensi seperti Jabatan Landskap Negara, Persatuan Arborist Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tambah DBKL, penilaian risiko pokok pula mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan dan seterusnya tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil seperti mana yang terkandung di dalam Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL,” katanya.

Dalam pada itu, pihak DBKL menyuarakan rasa dukacita di atas kejadian pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail dan merakam ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat.

“Bagi mangsa-mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan),” katanya.

Sementara itu, DBKL menegaskan bahawa kerja kerja pemantauan dijalankan secara berterusan terhadap pokok-pokok berisiko dengan mengambil kira soal keselamatan termasuk aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, DBKL kini sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka akan siap pada Julai 2024. – KOSMO! ONLINE

The post Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail atas tanah persendirian appeared first on Kosmo Digital.