Naik taraf laluan Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato’ Alias siap sepenuhnya

Bh14taraf o bhfield image listing featured v2. Var 1778752138

HULU LANGAT: Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato’ Alias, termasuk pembinaan jejambat merentasi Persimpangan Batu 9, Cheras di sini, siap awal 33 hari daripada tempoh ditetapkan.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Ismail, berkata pelaksanaan projek secara reka dan bina dengan kos sebanyak RM123.66 juta itu memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 31 Mac lalu.

Beliau berkata, projek bermula 6 Ogos 2021 itu siap 33 hari lebih awal, berbanding tarikh semasa pada 5 Mei lalu.

“Dengan siapnya projek ini dapat menyelesaikan konflik trafik di persimpangan utama dan memastikan aliran kenderaan bergerak lebih lancar, khususnya di kawasan Pekan Batu 9.

“Semoga projek pembinaan ini dapat mencapai objektif dan sekali gus dapat dimanfaatkan oleh semua pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato’ Alias termasuk Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Batu 9, Cheras, di sini, hari ini.

Roslan berkata, laluan FT3210 adalah sebahagian daripada rangkaian Jalan Persekutuan di daerah Hulu Langat yang menjadi laluan utama pergerakan trafik dari Kuala Lumpur ke Batu 9 Cheras, Batu 14, Jalan Sungai Tekali, Batu 18 Sungai Lui sehingga ke Kuala Klawang dan kawasan sekitarnya.

Oleh itu, katanya, ia menjadi laluan penting yang bukan sahaja menyokong mobiliti harian penduduk, malah menjadi penggerak kepada aktiviti ekonomi setempat.

“Namun begitu, seiring dengan pertambahan pesat bilangan kenderaan dan pembangunan di kawasan sekitar, laluan ini

berhadapan dengan isu kesesakan trafik yang semakin kritikal.

“Berdasarkan kajian trafik, Stesen Bancian BR608 merekodkan purata sebanyak 28,572 kenderaan dalam tempoh 16 jam, dengan tahap perkhidmatan jalan berada pada Level of Service (LOS) ‘F’, iaitu tahap kesesakan yang sangat tinggi.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kelancaran dan masa perjalanan yang lebih panjang serta risiko keselamatan jalan raya,” katanya.

Justeru, katanya, atas dasar keperluan terbabit projek itu dirancang dan dilaksanakan dengan objektif utama untuk meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik, serta mengurangkan kesesakan dan kadar kemalangan di laluan berkenaan.

Jelas beliau, skop Projek Fasa 1 itu merangkumi kerja naik taraf jalan sedia ada FT001 bermula dari Simpang Taman Suntex sepanjang 1 kilometer (km) dan menaiktaraf Persimpangan Batu 9 (FT3210/FT1), menaiktaraf Jalan FT3210 kepada jalan berkembar empat lorong (K2-2) dengan piawaian U5 sepanjang 1km.

Selain itu, membina jejambat dua lorong satu hala dari arah Hulu Langat FT001 merentasi Persimpangan Batu 9 Cheras; membina dua jambatan baru di Sungai Sering dan pelebaran satu jambatan sedia ada merentasi Sungai Raya.

Turut dilaksanakan menaik taraf persimpangan Dato’ Alias/Kg Melaka; membina dua unit overhead pedestrian bridge;

kerja elektrik termasuk pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, kerja pengalihan serta perlindungan utiliti; perlindungan alam sekitar dan pengambilan balik tanah.

Roslan berkata, lebih membanggakan projek itu mendapat Anugerah SHASSIC 5 Bintang oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Anugerah QUEST 2025 serta mengekalkan Zero Lost Time Injuries dan Zero Defect (Major Defect) bagi aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tapak sepanjang lima tahun sembilan bulan

pelaksanaan projek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles