Makanan tidak selamat bunuh 1.5 juta orang setahun
![]()
GENEVA – Makanan tercemar bakteria, virus, parasit atau bahan kimia berbahaya membunuh 1.5 juta orang di seluruh dunia setiap tahun, dengan kanak-kanak kecil paling teruk terjejas, demikian menurut amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Berdasarkan analisis 194 negara antara tahun 2000 hingga 2021, WHO mendapati 886 juta orang dijangkiti penyakit berkaitan pengambilan makanan tidak selamat pada setiap tahun, dengan kanak-kanak di bawah umur lima tahun hampir tiga kali ganda lebih berisiko.
“Keselamatan makanan bukanlah isu abstrak. Ia menyentuh setiap hidangan, setiap keluarga dan setiap hari,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Walaupun penyakit akibat pengambilan makanan berbahaya menurun secara keseluruhan sejak tahun 2000, ketidaksamaan serantau yang besar terus kekal.
Afrika dan Asia Tenggara sahaja menyumbang hampir tiga perempat daripada semua kes penyakit berkaitan makanan dan 60 peratus daripada kematian di seluruh dunia.
Dengan kira-kira 860 juta kes pada tahun 2021, bahaya biologi seperti bakteria dan virus menjadi punca sebahagian besar penyakit bawaan makanan.
Punca bukan biologi utama pula adalah pencemaran bahan kimia arsenik dan plumbum di dalam makanan.
“Data menunjukkan penyakit bawaan makanan bukan sahaja berterusan tetapi diburukkan lagi oleh perubahan iklim yang meningkatkan risiko pencemaran dan kuman kebal ubat, menjadikan jangkitan lebih sukar dirawat,” kata pegawai teknikal WHO bagi keselamatan makanan, Yuki Minato
Selain kesan kesihatan, kajian itu menganggarkan bahawa penyakit bawaan makanan menyebabkan ekonomi dunia rugi AS$647 bilion (RM2.5 trilion) dalam kehilangan produktiviti pada tahun 2021. – AFP
The post Makanan tidak selamat bunuh 1.5 juta orang setahun appeared first on Kosmo Digital.