Lebih 300 penduduk bantah projek ladang ternakan ayam
![]()
LARUT – Lebih 300 penduduk membantah cadangan pembinaan ladang ternakan ayam kerana berhampiran kawasan kediaman mereka di Kampung Batu 6, Bukit Bertam, Selama di sini.
Ini kerana menurut mereka, ia berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar, gangguan lalat serta menjejaskan kesihatan penduduk.
Wakil penduduk, Bahayah Wan Ali, 64, mendakwa projek berkenaan langsung tidak dimaklumkan kepada penduduk pada peringkat awal dan hanya diketahui selepas kerja-kerja pembersihan kawasan serta penebangan pokok sawit dilakukan pada tahun lalu.
Dia mendakwa semakan yang dilakukan penduduk mendapati jarak antara tapak projek dengan rumah terdekat hanya sekitar 183 hingga 194 meter, iaitu jauh lebih rendah daripada garis panduan 300 meter yang ditetapkan bagi projek ladang ternakan ayam sistem tertutup.
“Kami hanya mengetahui projek ini selepas kerja di tapak bermula. Apabila disemak, jaraknya terlalu dekat dengan rumah dan tanah saya serta rumah penduduk secara tidak lansung tidak menepati garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui bersama lebih 50 penduduk membuat demontrasi bantahan secara aman di tapak ladang ternakan ayam di Kampung Batu 6, Bukit Bertam, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Ramli Ahmad, 65, mendakwa projek berkenaan telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada Mac 2025 sebelum sebarang sesi libat urus menyeluruh diadakan dengan penduduk. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 300 penduduk bantah projek ladang ternakan ayam appeared first on Kosmo Digital.