PNB perkukuh pelaburan berteraskan syariah
![]()
PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini meluncurkan Model Saringan Maqasid Al-Syariah dalam Pelaburan Bertanggungjawab (MSRI), satu pendekatan saringan pelaburan yang mengintegrasikan rangka kerja Maqasid al-Syariah dan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia digunakan sebagai sebahagian daripada proses analisis dan pembuatan keputusan pelaburan bagi portfolio pelaburan domestik PNB, bertujuan untuk memperluaskan skop saringan syariah melangkaui penilaian kewangan dan aktiviti perniagaan semata-mata.
Model ini menilai pelaburan berdasarkan lima dimensi Maqasid al-Syariah yang diperkenalkan oleh Imam al-Ghazali, di samping mengintegrasikan elemen ESG secara menyeluruh dalam analisis pelaburan.
Ia turut mengambil kira skor kontroversi dan skor bonus bagi menilai isu-isu semasa yang mencerminkan kedua-dua kesan negatif serta usaha positif yang dilaksanakan oleh syarikat.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, peluncuran tersebut adalah hasil kerjasama erat antara PNB dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Ini adalah bukti nyata bahawa institusi pelaburan negara dan institusi agama mampu berganding bahu dalam membangunkan ekosistem ekonomi yang bukan sahaja mapan dari segi kewangan, tetapi juga utuh dari segi nilai dan etika,” katanya pada majlis peluncuran di Bangi.
Pada masa sama, ASNB turut meluncurkan kaedah pembayaran Zakat al-Mustaghallat secara khultah (kolektif), sebuah kemudahan buat pelabur Islam yang melabur dalam unit amanah harga tetap ASNB untuk menunaikan kewajipan membayar zakat setiap tahun.
Pembayaran zakat dikira sebanyak 2.57 peratus daripada dividen yang diterima sebelum diagihkan kepada pemegang unit.
Kaedah zakat secara khultah telah diperkenalkan oleh ASNB sejak 25 Mei 2026 dan setakat 16 Julai, seramai 131,121 akaun pelaburan unit amanah ASNB telah memilih supaya pembayaran zakat mereka diuruskan oleh ASNB secara khultah. – KOSMO! ONLINE
The post PNB perkukuh pelaburan berteraskan syariah appeared first on Kosmo Digital.