Hutan paya bakau Sungai Merbok terus jadi ‘port’ buang sampah
![]()
SUNGAI PETANI – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal masalah pembuangan sampah di Hutan Simpan Kekal (HSK) Paya Bakau, Sungai Merbok di sini masih berlarutan sejak empat tahun lalu tanpa penyelesaian berkesan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati pelbagai sisa plastik termasuk beg plastik dan botol air dibuang di dua lokasi di Kampung Segantang Garam di situ.
Katanya, masalah tersebut bukan sahaja mencacatkan kawasan hutan paya bakau, malah boleh menjejaskan ekosistem Sungai Merbok sekiranya terus dibiarkan.
“CAP kesal kerana masalah ini sudah berlarutan selama empat tahun dan perkara sama telah beberapa kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Justeru, kami menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Jabatan Perhutanan menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan penguatkuasaan bagi menangani masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut bimbang sisa plastik berkenaan akan dihanyutkan ke laut dan mencemarkan kawasan pesisir pantai.
“Keadaan itu berpotensi menjejaskan aktiviti serta mata pencarian ratusan nelayan yang bergantung kepada perairan itu,” ujarnya.
Mohideen berkata, pemantauan lebih kerap dan berterusan perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan Sungai Merbok dan hutan paya bakau berkenaan tidak terus menjadi lokasi pembuangan sampah.
“Jika dibiarkan, pencemaran ini boleh menyebabkan kemerosotan alam sekitar yang lebih serius terhadap kawasan berkenaan dan ekosistem sekitarnya.
“Pihak berkaitan juga perlu menyediakan tong sampah yang mencukupi serta menambah papan tanda larangan membuang sampah di seluruh kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memperhebatkan kempen kesedaran mengenai bahaya plastik dan sisa pepejal bagi mendidik masyarakat mengenai kesannya terhadap alam sekitar serta kesejahteraan manusia. – KOSMO! ONLINE
The post Hutan paya bakau Sungai Merbok terus jadi ‘port’ buang sampah appeared first on Kosmo Digital.