Siasat, ambil tindakan isu sampah di HSK Paya Bakau Sungai Merbok – CAP

Whatsapp image 2026 08 10 at 15. 19. 35

Whatsapp image 2026 08 10 at 15. 19. 35

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Paya Bakau Sungai Merbok, Kedah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan persatuan itu di sepanjang Sungai Merbok mendapati, kebanyakan sisa buangan yang dikesan di dua lokasi di Kampung Segantang Garam terdiri daripada beg dan botol minuman plastik.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana masalah yang sudah berlarutan sejak empat tahun lalu itu masih gagal ditangani dengan berkesan walaupun perkara berkenaan sudah beberapa kali dikemukakan CAP sebelum ini.

“Selain menjejaskan hutan paya bakau Sungai Merbok dan ekosistem sungai, CAP bimbang pencemaran sisa buangan plastik ini akan merebak ke laut berhampiran dan mencemarkan kawasan pesisiran pantai. Ia juga boleh mengancam aktiviti dan mata pencarian ratusan nelayan yang mencari rezeki di perairan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, CAP percaya, kesan buruk ke atas alam sekitar di kawasan berkenaan dan sekelilingnya akan menjadi lebih serius pada masa akan datang jika masalah tersebut dibiarkan berterusan.

Sehubungan itu, CAP mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menguatkuasakan undang-undang dengan tegas supaya masalah itu dapat ditangani dengan berkesan dan tidak berulang.

“Pemantauan lebih kerap dan berterusan perlu bagi memastikan agar keadaan Sungai Merbok dan hutan paya bakau di sini terselamat daripada sebarang ancaman pencemaran.

“Pada masa yang sama, PBT juga perlu menyediakan tong sampah yang mencukupi bagi kemudahan penduduk tempatan membuang bahan buangan mereka serta meletak lebih banyak papan tanda larangan pembuangan sampah di kawasan ini,” ujar beliau.

Tambahnya, CAP turut mencadangkan agar kempen mengenai bahaya plastik dan sisa dilaksanakan pihak kerajaan daripada semasa ke semasa bagi memupuk kesedaran kalangan masyarakat mengenai kesan buruk bahan buangan itu kepada alam sekitar dan kehidupan manusia.-UTUSAN

The post Siasat, ambil tindakan isu sampah di HSK Paya Bakau Sungai Merbok – CAP appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles