Hanya satu stesen rekod bacaan IPU tidak sihat di Pulau Pinang

Whatsapp image 2026 08 13 at 11. 52. 10 1024x683 1

Whatsapp image 2026 08 13 at 11. 52. 10

GEORGE TOWN : Hanya satu daripada empat Stesen Pengawasan Kualiti Udara Automatik di Pulau Pinang iaitu Stesen Minden di Gelugor merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada kategori tidak sihat iaitu 107 pada pukul 12 tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, data itu diperoleh daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang diambil menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Beliau berkata, bacaan IPU yang diambil di stesen yang sama kira-kira pukul 1 petang bagaimanapun menurun kepada 103 dan terus berkurangan sehingga ke tahap sederhana iaitu 97 selepas bacaan terkini diambil kira-kira pukul 3 petang.

“Bagi tempoh 10 hingga 13 Ogos (hari ini) iaitu sehingga pukul 3 petang, kualiti udara di Pulau Pinang secara keseluruhannya berada pada kategori sederhana hingga tidak sihat, dengan bacaan IPU antara 60 hingga 107.

“Trend pemantauan menunjukkan Stesen Minden dan Balik Pulau merekodkan bacaan antara 57 hingga 107, manakala Stesen Seberang Perai dan Seberang Jaya mencatatkan bacaan antara 66 hingga 96.

“Tiga daripada stesen ini (Balik Pulau, Seberang Perai dan Seberang Jaya) masih berada dalam kategori sederhana manakala hanya satu stesen sahaja (Minden) menunjukkan bacaan tidak sihat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Sundarajoo berkata, peningkatan bilangan titik panas di beberapa kawasan rantau ini turut diberi perhatian berikutan maklumat awal oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang merekodkan 213 titik panas di Sumatera dan 835 di Kalimantan bagi tempoh 9 hingga 11 Ogos lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah titik panas itu tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk untuk menentukan tahap kualiti udara di Pulau Pinang kerana kesannya turut bergantung kepada keadaan meteorologi, khususnya arah dan kelajuan angin, keadaan atmosfera serta taburan hujan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat IPU terkini berdasarkan lokasi masing-masing melalui sistem rasmi APIMS serta tidak bergantung kepada maklumat tidak rasmi atau sumber media sosial yang tidak disahkan.

“Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihat untuk mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka, termasuk pembakaran sampah, daun kering dan sisa pertanian serta segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran kepada pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN

The post Hanya satu stesen rekod bacaan IPU tidak sihat di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles

Peralihan Kepada EQMS

PERALIHAN KEPADA EQMS MyEQMS (Malaysia Environmental Quality Management System) MyEQMS ialah platform digital yang menyediakan data kualiti alam sekitar ambien secara masa nyata merangkumi kualiti…