Jerebu: Pulau Pinang pertimbang henti aktiviti luar

Whatsapp image 2026 08 13 at 3. 08. 55 pm 1024x683 1

Whatsapp image 2026 08 13 at 3. 08. 55 pm

GEORGE TOWN – Aktiviti tertentu termasuk aktiviti luar sekolah mungkin dihentikan atau ditangguhkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pulau Pinang mencapai tahap lebih buruk.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini bacaan IPU di negeri ini masih berada pada tahap sederhana dan kerajaan negeri akan terus memantau perkembangannya.

Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan maklumat terkini daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung keadaan kualiti udara di Pulau Pinang.

“Sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU serta perkembangan keadaan semasa. Sekiranya mencapai tahap yang lebih kritikal, saya fikir nasihat perlu dikeluarkan untuk menghentikan atau menangguhkan aktiviti tertentu,” katanya selepas merasmikan program R.A.C.E to Zero Regional Series 2026 di sini, hari ini.

Beritahu Kon Yeow, antara langkah yang boleh dipertimbang termasuk menangguhkan aktiviti luar membabitkan sekolah sekiranya keadaan pencemaran udara bertambah buruk.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, terdapat empat Stesen Pengawasan Kualiti Udara Automatik di Pulau Pinang iaitu Stesen Seberang Jaya, Seberang Perai, Minden dan Balik Pulau.

“Kualiti udara di negeri ini bagi tempoh tiga hari iaitu 10 hingga 13 Ogos (hari ini) berada pada tahap sederhana (51–100), dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 60 hingga 99. Namun telah menghampiri paras Tidak Sihat,” katanya.

Justeru tambahnya, orang awam dinasihatkan berwaspada dan mengelak daripada sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Pulau Pinang pertimbang henti aktiviti luar appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles