‘Kita sedang menghirup debu’

Jerebu kl 1 1024x683 1

Jerebu kl 1

PETALING JAYA – Keadaan langit yang kelihatan kelabu ketika ini bukan sekadar mendung biasa, sebaliknya udara didakwa dipenuhi debu daripada kebakaran hutan di negara jiran.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Threads berkata, keadaan itu menyebabkan orang ramai kini secara tidak langsung menghirup partikel halus yang berada di udara.

“Kalau langit hari ini nampak kelabu, itu bukan mendung biasa.

“Udara kita sedang dipenuhi debu kebakaran hutan dari negara jiran. Partikel halus PM2.5 bersaiz ≤2.5 mikrometer, cukup kecil untuk masuk jauh ke dalam paru-paru. Kita menghirup debu di sini,” katanya.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati 10 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Sri Aman, Samarahan dan IPD Serian di Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu IPU 163, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (158) dan Cheras, Kuala Lumpur (157).

Putrajaya dan Shah Alam, Selangor masing-masing merekodkan IPU 154, manakala Seremban, Negeri Sembilan serta Johan Setia, Selangor masing-masing mencatatkan bacaan 153.

Batu Muda, Kuala Lumpur pula merekodkan IPU 138, manakala beberapa kawasan lain berada pada tahap sederhana termasuk Klang (98), Kuching dan Tangkak (97) serta Petaling Jaya dan Banting (94). – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kita sedang menghirup debu’ appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles