Taman hijau jangan sekadar cukup syarat
![]()
PEMBANGUNAN ruang terbuka hijau semakin menjadi sebahagian daripada agenda bandar mampan. Namun, persoalan yang perlu difikirkan ialah adakah kewujudan taman dan kawasan hijau di bandar benar-benar mampu membantu mengurangkan pencemaran atau sekadar memenuhi keperluan perancangan pembangunan?
Kajian yang membandingkan pengalaman pengguna taman di Melaka, Malaysia dan Padang, Indonesia menunjukkan ruang terbuka hijau mempunyai potensi mengurangkan pencemaran udara, bunyi dan air.
Namun, tahap keberkesanannya tidak sama bagi setiap taman dan jenis pencemaran. Fungsi mengurangkan pencemaran udara merupakan manfaat yang paling jelas dikenal pasti oleh pengguna, khususnya melalui kewujudan pokok dan tumbuh-tumbuhan.
Masalahnya, tidak semua kawasan hijau mampu berfungsi dengan optimum. Taman kecil, kurang ditumbuhi pokok matang, mempunyai vegetasi tidak mencukupi atau terletak terlalu hampir dengan laluan trafik sibuk mungkin tidak dapat menjadi penampan pencemaran yang berkesan.Â
Kajian tersebut turut menunjukkan saiz taman, jenis dan kepadatan vegetasi, lokasi, ciri berkaitan air serta keupayaan tadbir urus mempengaruhi keberkesanan ruang terbuka hijau.
Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak seharusnya hanya mengejar jumlah taman atau keluasan kawasan hijau sebagai petunjuk kejayaan bandar hijau.
Kita memerlukan perubahan daripada pendekatan ‘berapa banyak kawasan hijau disediakan’ kepada ‘sejauh mana kawasan hijau itu berfungsi.’
Antara langkah yang boleh diberi perhatian ialah meningkatkan penanaman pokok matang dan vegetasi yang sesuai, mewujudkan zon penampan hijau berhampiran jalan raya yang sibuk, memperkenalkan elemen sensitif air serta memastikan saiz dan reka bentuk taman sesuai dengan fungsi ekologinya.Â
Pada masa sama, pengurusan taman memerlukan koordinasi yang lebih baik antara jabatan dan agensi berkaitan. Cadangan ini turut selari dengan implikasi kajian yang menekankan kepentingan reka bentuk ekologi, vegetasi yang lebih padat, penampan hijau, elemen sensitif air dan penyelarasan institusi.
Bandar hijau bukan sekadar bandar yang mempunyai banyak taman. Taman bandar perlu dilihat sebagai infrastruktur ekologi yang membantu membersihkan udara, mengurangkan bunyi, mengurus air dan meningkatkan daya tahan bandar.
Sudah tiba masanya ukuran kejayaan ruang terbuka hijau beralih daripada sekadar kuantiti kepada kualiti dan fungsi. Jika tidak, kita mungkin mempunyai bandar yang kelihatan hijau pada peta, tetapi belum tentu benar-benar hijau kepada penduduknya. –UTUSAN
Â
DR. NABILAA MOHAMED
Pensyarah Kanan (Pengurusan Awam),
Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur
Â
The post Taman hijau jangan sekadar cukup syarat appeared first on Utusan Malaysia.