Acara perbarisan diteruskan jika cuaca kekal baik

Whatsapp image 2026 08 29 at 11. 49. 18 1024x682 1

Whatsapp image 2026 08 29 at 11. 49. 18

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya pada Isnin ini sekiranya keadaan cuaca kekal baik seperti dilaporkan pada hari ini dan semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama pihak terlibat seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang merupakan sebahagian jawatankuasa induk sambutan Hari Kebangsaan 2026.

“Kita telah membuat keputusan sekiranya keadaan seperti sedia ada (seperti) pagi ini dan semalam, kita akan teruskan dengan acara pada hari Isnin,” katanya kepada pemberita selepas sesi raptai penuh Hari Kebangsaan 2026 di sini tadi.

Pada masa sama, Fahmi berkata, kerajaan juga akan melaksanakan penilaian dari masa ke semasa termasuk melakukan pembenihan awan sebagai salah satu usaha memastikan cuaca kekal terkawal.

“Kita akan buat penilaian dari semasa ke semasa dan ada beberapa tindakan bakal diambil termasuk pembenihan awan yang akan diuruskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai proses pembenihan awan itu, Fahmi berkata, proses itu akan dilaksanakan jika ada kumpulan awan yang boleh dibenihkan selain tertakluk kepada penilaian Jabatan Meteorologi.

“Ia (pembenihan awan) akan bergantung sama ada terdapat awan yang boleh dibenihkan. Jadi, penilaian daripada pihak Nadma itu akan dimaklumkan kepada pihak jawatankuasa.

“Kita harap menjelang hari ini dan esok boleh diadakan pembenihan awan. Tapi semua tertakluk kepada pandangan dan dapatan daripada Jabatan Meteorologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Acara perbarisan diteruskan jika cuaca kekal baik appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles