Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 mungkin diubah skala atau lokasi
![]()
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengubah skala atau lokasi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan negara ketika ini termasuk di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil maklum mengenai keadaan jerebu yang sedang melanda negara termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain Sarawak yang antara negeri paling terkesan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk mengadakan perbincangan petang ini bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi meneliti langkah yang perlu diambil menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Tan Sri KSN ditugaskan untuk mengadakan satu perbincangan dengan semua jabatan yang berwajib dan juga pihak Kementerian Komunikasi selaku kementerian yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan Hari Kebangsaan.
“Sama ada untuk mengubah skala, mengubah lokasi ataupun untuk meneruskan di lokasi yang sama iaitu di Dataran Putrajaya menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, penilaian sama turut melibatkan program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini.
Fahmi berkata, perbincangan petang ini akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, mesyuarat itu akan meneliti unjuran cuaca serta senario jerebu bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Tan Sri KSN akan meneliti bersama kementerian dan agensi berkaitan untuk menilai dan membuat keputusan berdasarkan anggaran atau unjuran cuaca bagi lima hingga enam hari ke depan termasuk isu jerebu,” katanya.
Mengulas kemungkinan sambutan dipindahkan ke lokasi tertutup, beliau berkata, cadangan itu antara perkara yang akan diteliti selain kesesuaian lokasi dan faktor-faktor lain.
Ditanya mengenai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang boleh menjadi penanda aras kepada perubahan pelaksanaan program, Fahmi berkata, perkara itu belum diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sambutan berkenaan tidak akan dibatalkan, sebaliknya kerajaan akan mempertimbangkan perubahan skala atau lokasi sekiranya perlu.
“Kita tidak akan batalkan, tetapi sama ada skalanya berubah ataupun diubah lokasi. Kita tunggu hasil mesyuarat Tan Sri KSN petang ini,” katanya.
Katanya, pandangan KKM dan KPM juga akan diambil kira memandangkan sambutan berkenaan melibatkan penyertaan kira-kira 1,500 peserta human graphic terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari tiga negeri.
Berdasarkan semakan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 3.00 petang hari ini, sebanyak 10 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur. – UTUSAN
The post Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 mungkin diubah skala atau lokasi appeared first on Utusan Malaysia.