1,211 titik panas di selatan Asean, asap rentas sempadan masuk Sarawak, kata JAS

Cd576f27 126a 439e 919a d7336a29f3a1 jerebu sarawak bernamapic 070826
Jerebu sarawak
Timbalan ketua pengarah (pembangunan) jabatan alam sekitar azuri azizah saedon berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di kalimantan barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat sarawak. (gambar bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,211 titik panas dikesan di rantau selatan Asean berdasarkan laporan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 oleh Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,180 titik panas dikesan di Kalimantan, 18 di Sumatera dan 13 di Malaysia, dengan masing-masing dua di Perak dan Sabah serta sembilan di Sarawak.

Beliau berkata, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada tarikh sama menunjukkan keadaan cuaca kering di kebanyakan kawasan di rantau selatan Asean, kecuali beberapa kawasan terutama di utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang menerima hujan.

“Titik panas meluas dikesan di Kalimantan, manakala titik panas terpencil dikesan di Sulawesi serta bahagian selatan dan tengah Sumatera. Beberapa titik panas turut dikesan terutamanya di bahagian tengah Sarawak dan timur Jawa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

Jelasnya, beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, barat dan tengah Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta selatan dan tengah Sumatera merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat hingga berbahaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya disebabkan litupan awan.

Susulan peningkatan aktiviti titik panas serta keadaan jerebu semakin meluas di rantau selatan Asean, Sekretariat Asean telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau itu berkuat kuasa 27 Ogos lalu, selaras prosedur operasi standard Majer Asean.

Azuri Azizah berkata, JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) terus memantau kualiti udara, titik panas, keadaan cuaca serta perkembangan jerebu bagi menyelaras tindakan membabitkan kementerian dan agensi berkaitan.

Di Sarawak, JAS negeri meneruskan rondaan dan operasi mencegah pembakaran terbuka, selain meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri.

Berdasarkan PTJK, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Pihak sekolah, tadika dan taska juga perlu sentiasa memantau bacaan IPU dan membuat persediaan, jika trend menunjukkan peningkatan ke arah 200.

Orang ramai dinasihat tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan pembakaran atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.

Related Articles