Lebih 100,000 rakyat meriahkan sambutan merdeka di Putrajaya
![]()
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpukan lebih 100,000 pengunjung, seterusnya kekal mempamerkan semangat patriotik tinggi dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kelancaran sambutan itu turut dibantu keadaan cuaca yang mengizinkan hasil pemantauan berterusan oleh beberapa agensi berkaitan.
“Kerajaan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara yang sentiasa bersiap siaga sepanjang penganjuran acara berkenaan.
“Hari ini cuaca sangat-sangat baik. Berkat, doa dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memantau keadaan dan bersedia melaksanakan pembenihan awan sekiranya diperlukan.
“Alhamdulillah cuaca mengizinkan dan sambutan dapat berlangsung dengan lancar,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, orang ramai yang masih berada di Putrajaya boleh terus menikmati pelbagai aktiviti dan pameran yang disediakan sempena sambutan tersebut.
Katanya, antara tarikan yang masih dibuka kepada pengunjung ialah pameran aset kerajaan termasuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Anjung Floria serta Rio Merdeka di Monumen Alaf Baru selain pelbagai gerai makanan menerusi penyediaan trak makanan.
Dalam pada itu, Fahmi berharap sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dapat menyemarakkan lagi rasa cinta rakyat terhadap negara serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya harap sambutan Hari Kebangsaan kali ini dapat menyemarakkan rasa cinta kepada negara, kepada tanah air, tanah tumpahnya darah kita.
“Sama-sama kita pertahankan perpaduan dan sama-sama kita pertahankan Malaysia yang kita cintai,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Malaysia 2026 pula, Fahmi berkata, mesyuarat penyelarasan akhir akan diadakan pada 5 September ini bagi meneliti persiapan menjelang acara berkenaan yang dijadual berlangsung di Borneo Cultural Centre, Kuching, Sarawak pada 16 September depan.
Katanya, selain acara rasmi pada sebelah malam, pelbagai program sampingan turut dirancang di sekitar lokasi sambutan termasuk di Plaza Merdeka.
“Kita akan adakan mesyuarat pada 5 September untuk meneliti perancangan akhir sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Borneo Cultural Centre pada 16 September.
“Terdapat pelbagai acara sisipan termasuk pameran sejarah pembentukan Malaysia, ekshibisi dan pelbagai aktiviti lain yang telah disusun untuk pengunjung,” katanya.
Beliau juga percaya sambutan Hari Malaysia kali ini akan menarik kehadiran pengunjung. dari seluruh negara termasuk dalam kalangan mereka yang hadir ke Putrajaya bagi meraikan Hari Kebangsaan.
Tambahnya, walaupun kapasiti acara utama di Borneo Cultural Centre dianggarkan sekitar 5,000 orang, jumlah keseluruhan pengunjung dijangka jauh lebih tinggi susulan pelbagai program yang berlangsung di kawasan sekitarnya.
“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk platform Merdeka360 yang menyediakan pelbagai informasi berkaitan sambutan Hari Malaysia 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 100,000 rakyat meriahkan sambutan merdeka di Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.