Pembenihan awan dilaksana segera di Sarawak, kata Zahid

SHAH ALAM: Kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan di lima lokasi di Sarawak yang terjejas teruk akibat jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.
Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata beberapa kawasan di negeri itu dilaporkan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hampir 500, iaitu pada tahap berbahaya.
Menurutnya, tindakan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Di Sarawak, tahap jerebu di tengah-tengah kawasan telah mencapai paras yang bahaya. Ada yang IPU mencecah (hampir) 500. Kita akan lakukan pembenihan awan sesegera yang mungkin.
“Kita akan meminta MetMalaysia untuk memberikan nasihat di kawasan-kawasan terutamanya yang berada di tahap berbahaya ini agar luruhan angin itu akan menuju ke tempat-tempat yang lokasinya sangat bahaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Belia Desa 2026 di Hilton Glenmarie Shah Alam.
Zahid berkata demikian ketika ditanya perkembangan jerebu di Sarawak.
Terdahulu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan keadaan jerebu di Sarawak semakin memburuk apabila lima kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 415.
Setakat 6 pagi ini, Kuching merekodkan bacaan IPU 405, diikuti Samarahan (369), Sri Aman (355) dan Sarikei (328).
Ia sekali gus menunjukkan kualiti udara di kawasan terbabit berada pada tahap membimbangkan.
Selain itu, empat lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Sibu dengan bacaan 298, Mukah (228), Samalaju (218) dan Bintulu (221).
Dalam pada itu, Zahid berkata setakat ini lima lokasi dikenal pasti untuk operasi berkenaan, namun kawasan terjejas dijangka bertambah sekiranya jerebu terus merebak.
Menurut Zahid, kerajaan pusat akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak dalam memantau keadaan jerebu di seluruh negeri.
Beliau berkata, kebakaran hutan di Kalimantan yang semakin meluas menyebabkan kira-kira tiga perempat wilayah Sarawak terjejas.
“Kita lakukan koordinasi ini dalam kadar segera kerana kita merasakan bahawa negeri Sarawak wajib dibantu,” katanya.