Jerebu: Sarawak kekal ‘juara’, Selangor dan KL catat IPU tidak sihat

7c6860b1 6951 4a22 b4d5 e0ffcff9f8b8 1024x682 1

7c6860b1 6951 4a22 b4d5 e0ffcff9f8b8

PETALING JAYA – Kualiti udara di beberapa kawasan di seluruh negara masih membimbangkan apabila Kuching dan Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat pukul 9 pagi ini.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara, Kuching dan Sri Aman mencatatkan bacaan IPU masing-masing 235 dan 216.

Dalam pada itu, sebanyak 35 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU antara 101 hingga 200, termasuk beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Samalaju, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 200, diikuti Bintulu (199), Mukah (195), Samarahan (195), Sarikei (189), Ibu Pejabat Polis Daerah Serian (184), Institut Latihan Perindustrian Miri (183) dan Sibu (181), manakala di Sabah melibatkan Kimanis (167), Politeknik Kota Kinabalu (164) dan Kota Kinabalu (161).

Di Selangor, turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Johan Setia (179), Shah Alam (165), Banting (156), Petaling Jaya (155), Klang (154) dan Kuala Selangor (153).

Sementara di Kuala Lumpur, kawasan terlibat bagi kategori sama ialah Batu Muda dan Cheras (161), selain seluruh Putrajaya (162).

Di Negeri Sembilan pula, daerah Nilai mencatatkan bacaan IPU 167, Seremban (166) dan Port Dickson (153), manakala di Pahang, Jerantut (166), Temerloh (162) dan Paka, Terengganu (117).

Turut terkesan ialah Johor di Segamat (160), Tangkak (154), Batu Pahat (152) dan Kluang (137), manakala di Melaka melibatkan Alor Gajah dan Bukit Rambai (157).

Sementara itu, sebanyak 23 kawasan lagi mencatatkan bacaan sederhana, iaitu IPU antara 51 hingga 100.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Sarawak kekal ‘juara’, Selangor dan KL catat IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles