Hanya 2 kawasan di Sarawak catat IPU sangat tak sihat

7351513c a32a 4509 af78 dc6419165bb2 jerebu sarawak bernama 080826 1
Jerebu sarawak
Bacaan ipu di kuching dan sri aman masing-masing 229 serta 216 pagi ini. (gambar bernama)

PETALING JAYA: Keadaan jerebu di Sarawak bertambah baik dengan hanya dua kawasan mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 9.30 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, Kuching dan Sri Aman masing-masing mencatatkan IPU 229 dan 216 pagi ini.

Sepuluh lagi kawasan di Sarawak, termasuk Serian yang diisytiharkan darurat pada Jumaat lalu, antara 35 kawasan di seluruh negara yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.

Bacaan IPU di Samalaju ialah 200, Bintulu (199), Mukah (196), Samarahan (193), Sarikei (189), Institut Latihan Perindustrian Miri (183), Serian (183), Sibu (181), Miri (176) dan Limbang (161).

Sebanyak 23 kawasan lain mencatatkan IPU sederhana dan kualiti udara di lapan lagi kawasan mencapai tahap baik.

Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 dikategorikan bahaya.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di Serian selepas bacaan IPU di kawasan itu melebihi 500.

Susulan itu, Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS) mengumumkan 647 sekolah rendah serta menengah di negeri itu ditutup mulai 7 hingga 11 Sept ini, dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima hari itu.

Malam tadi, JPNS mengumumkan 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan Tatau/Sebauh di Sarawak ditutup dari 7 sehingga 11 Sept ini akibat jerebu.

Related Articles