Ibu bapa perlu maklum sekolah jika tidak hantar anak ketika jerebu

Whatsapp image 2026 09 11 at 2. 10. 49 pm 1024x576 1

Whatsapp image 2026 09 11 at 2. 10. 49 pm

TAIPING – Ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah ketika keadaan jerebu serius perlu memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada pihak sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ruang berkenaan diberikan kepada ibu bapa sekiranya mereka merasakan keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak-anak.

“Sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah selama satu atau dua hari atau untuk tempoh tertentu ketika situasi jerebu serius, perkara itu dibenarkan, tetapi mereka perlu memaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu,” katanya ketika pemberita selepas hadir dalam lawatan ke Hospital Taiping hari ini

Beliau berkata, kelonggaran itu diberikan kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, khususnya ketika keadaan jerebu bertambah serius.

Katanya, KPM yakin ibu bapa mampu membuat keputusan terbaik untuk anak masing-masing berdasarkan keadaan semasa.

Dalam pada itu, Wong Kah Woh menegaskan KPM mempunyai garis panduan yang jelas bagi menangani situasi jerebu di sekolah dan bukan seperti didakwa sesetengah pihak bahawa kementerian tidak mempunyai perancangan.

Menurutnya, berdasarkan garis panduan berkenaan, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, segala aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah yang terbabit akan ditutup,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berkenaan pernah dilaksanakan ketika fenomena jerebu berlaku di Sarawak dan ia dibuat berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, beliau menjelaskan garis panduan menangani cuaca panas pula adalah berbeza dan tidak boleh disamakan dengan tindakan berdasarkan bacaan IPU.

“Cuaca panas tidak ada kaitan dengan bacaan IPU dan sebagainya. Kita mempunyai garis panduan berkenaan cuaca panas, termasuk perkara berkaitan pemakaian uniform,” katanya.

Wong Kah Woh berkata, KPM dan pihak pengurusan sekolah mempunyai garis panduan serta mekanisme tersendiri bagi menangani keadaan cuaca panas.

Katanya, semua garis panduan berkenaan disediakan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid sentiasa diberi perhatian mengikut keadaan semasa.

The post Ibu bapa perlu maklum sekolah jika tidak hantar anak ketika jerebu appeared first on Kosmo Online.

Related Articles