Minda ahad 2

‘Deklarasi Bangi’ demi pendidikan berkualiti

Minda ahad 2

Minda ahad 2

Pada 6 November lalu, ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan satu kenyataan yang cukup jelas kepada kepimpinan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan 2024 sebagai tahun menjayakan pendidikan berkualiti.
Antara ucapan Perdana Menteri di dalam majlis itu adalah – “Soal pendidikan, untuk guru besar, pengetua dan guru-guru, saya mahu tekankan yang mana bermula Januari 2024, selain menyelesaikan hal asas berkaitan prasarana sekolah, tumpuan kita ialah tingkat dan angkat mutu pendidikan”. Tambah beliau – “Perkara ini, saya sudah bercakap kepada Menteri KPM dan KPT. Minta bantuan, kita bantu. Tahun ini lebih baik, tapi prestasi murid-murid tak berubah, kita tak boleh terima. Jadi, ini yang saya mahu tekankan mengenai mutu pendidikan”.
Pada penulis, ucapan tersebut merupakan satu pengumuman ‘Deklarasi Bangi’ sebagai pengisytiharan komitmen kerajaan kepada rakyat bagi menumpukan sepenuh usaha menjadikan sistem pendidikan negara lebih berkualiti mulai 2024.
Sejarahnya, pemikiran kepimpinan negara untuk membina sebuah sistem pendidikan berkualiti telah mula dicerna di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010). Berulang kali disebut di dalam PIPP tentang konsep, kerangka serta strategi untuk menjayakan pendidikan berkualiti.
Seterusnya, idea untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti ini diangkat lebih tinggi di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025). Pelbagai strategi anjakan serta aspirasi dirancang di dalam PPPM 2013-2025 untuk menjayakan pendidikan berkualiti.
Bagaimanapun, disebabkan keadaan ekonomi negara tidak menentu, persekitaran politik juga tidak stabil serta bencana pandemik Covid 19, banyak perancangan pendidikan yang terkandung di dalam dokumen PPPM 2013-2025 tidak dapat dijayakan sepenuhnya. Misalnya, akibat pandemik Covid-19, berlaku peningkatan keciciran pembelajaran, banyak projek pembinaan sekolah baharu tertangguh dan kerja naik taraf sekolah daif turut terjejas.
Di peringkat global, penekanan kepada membangunkan pendidikan berkualiti telah dinyatakan dengan jelas di dalam dokumen Sustainable Development Goals (SDG 2030) yang dihasilkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di bawah SDG 4: Quality of Education, terdapat 10 sasaran utama sebagai panduan kepada masyarakat dunia untuk mencapai pendidikan berkualiti menjelang 2030.
Antara sasaran utama disenaraikan di dalam SDG 4 adalah pencapaian dari segi akses pendidikan asas, mengecilkan jurang pendidikan antara gender, tumpuan kepada pendidikan untuk kumpulan kurang upaya, meningkatkan kadar celik membaca, menulis dan mengira di kalangan kanak-kanak, menyediakan guru mahir dan mencukupi serta membangunkan pendidikan yang boleh mendidik anak-anak sekolah menghormati kepelbagaian budaya dan agama.
Sejajar dengan usaha PBB yang berjaya menghasilkan senarai sasaran SDG 4-Quality of Education di peringkat global, kepimpinan KPM juga seharusnya bersedia membentangkan apakah pula senarai sasaran pendidikan berkualiti untuk dijadikan panduan kepada semua pihak pemegang taruh sistem pendidikan di negara ini sebagai meraikan ‘Deklarasi Bangi’ untuk membina sistem pendidikan berkualiti sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri di Bangi tempoh hari.
Tentunya, selepas lebih setahun Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan terbentuk, masa untuk ‘bulan madu’ sudah pun berakhir. Tahun 2024 adalah tahun untuk kepimpinan pendidikan negara bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan sistem pendidikan negara menjadi lebih baik berbanding 2023.
KPM perlu meningkatkan infra dan kemudahan pendidikan negara dengan segera. Kemahiran dan strategi pengajaran guru juga perlu ditingkatkan supaya sesuai dengan keperluan dan kecenderungan pembelajaran murid-murid generasi yang serba baru hari ini.
Prasarana dan kemahiran digital para guru juga perlu diperhebatkan. Guru-guru perlu cekap dengan penggunaan digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Malah kandungan silibus bagi setiap mata pelajaran juga perlu dikemaskinikan khususnya silibus yang sudah lama diguna pakai dan tidak lagi relevan untuk keperluan generasi sekarang.
Kita kena akui pencapaian sistem pendidikan negara untuk 2023 tidaklah begitu memuaskan. Selain isu keciciran pembelajaran yang masih berterusan sejak pandemik Covid-19 bermula pada awal 2020, sistem pendidikan negara kita juga belum berjaya sepenuhnya menyelesaikan isu kekurangan guru, isu guru bersara awal, isu silibus yang banyak dan tinggi (dijangkakan hanya selesai pada 2027), isu beg sekolah berat, isu sekolah daif khususnya di pedalaman, isu kelas yang sesak dan isu kemerosotan murid aliran sains tulen.
Begitu juga sistem pendidikan negara yang mengalami kemerosotan teruk dalam pencapaian untuk Sains, Matematik dan Membaca di dalam PISA. Malah, kita juga belum berjaya menyelesaikan sepenuhnya isu bebanan tugas guru yang berlebihan dan isu pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Begitu juga dengan isu persiapan prasarana ICT yang masih belum meyakinkan untuk sistem pendidikan negara memulakan pendidikan digital di semua sekolah yang berjumlah lebih 10,000 buah di seluruh negara. Nampaknya banyak urusan pendidikan yang masih belum selesai.
Tahun 2024 adalah tahun untuk seluruh jentera KPM bekerja lebih kuat demi menja­yakan sistem pendidikan negara. Anggaplah ucapan Anwar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi itu sebagai pernyataan ‘Deklarasi Bangi’ untuk semua pihak khususnya KPM dan KPT untuk mula bangun merancang dan mem­bina sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti bermula pada 2024 dan tahun seterusnya.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM dan Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara.

The post ‘Deklarasi Bangi’ demi pendidikan berkualiti appeared first on Utusan Malaysia.