Img 20231227 091830 1024x768 1

Akses ke Langkawi jadi keutamaan LADA tarik pelancong

Img 20231227 091830 1024x768 1

Img 20231227 091830

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan memberi tumpuan kepada aspek kemudahsampaian atau akses bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong ke pulau peranginan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, agenda tersebut akan menjadi keutamaan kerana walaupun LADA telah mengadakan pelbagai promosi, namun kemudahsampaian perlu dititikberatkan bagi memudahkan pengunjung masuk ke Langkawi.

Katanya, langkah itu juga secara tidak langsung dapat membantu mencapai sasaran kemasukan pelancong sebanyak tiga juta orang pada tahun hadapan.

“Kita sedang cuba untuk mempromosi Langkawi kepada pelancong asing yang singgah di sini melalui kapal persiaran mewah agar mereka kembali sebagai pelancong yang menginap lebih lama di sini.

“Untuk tahun ini, jumlah kemasukan pelancong hampir mencecah tiga juta orang dan untuk tahun hadapan kita harapkan lebih daripada tiga juta pengunjung masuk ke Langkawi,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan kapal persiaran mewah di Langkawi Cruise Terminal (LCT), Tanjung Malai, di sini, hari ini.

Ujar Haslina, Langkawi sebagai sumber rujukan utama bagi geotapak yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di rantau Asia secara automatik akan menggalakkan pelancong untuk ke sini kerana adanya pengikut setia tapak UNESCO di seluruh dunia.

Jelasnya, fasiliti di tapak UNESCO sedia ada akan diperkemas selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030. –UTUSAN

The post Akses ke Langkawi jadi keutamaan LADA tarik pelancong appeared first on Utusan Malaysia.